HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Disember 2021

Banjir: 650 sukarelawan Terengganu ke Pahang siri kedua

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
 

KUALA TERENGGANU: Seramai 650 sukarelawan misi bantuan banjir ke Pahang siri kedua dilaksanakan hari ini dengan penyertaan jabatan dan agensi kerajaan negeri Terengganu, Persekutuan, peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), persatuan belia dan badan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Jabatan Amal Malaysia (JAM) serta banyak lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Beliau, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, misi bantuan banjir itu selama tiga hari bermula hari ini hingga 30 Disember, melibatkan semua agensi dan jabatan daripada kerajaan negeri Terengganu mahupun kerajaan Persekutuan.

Turut serta katanya, adalah angota-anggota sukarelawan dari Terengganu Terengganu Volunteers (T-VOLT) dan sukarelawan yang mewakili pelbagai kumpulan atau persatuan termasuk persatuan belia dan beliawanis yang ada di negeri ini.

“Jumlah peserta kali ini menjangkau 650 orang walaupun pada mulanya mensasarkan 500 orang sahaja. Kita juga akan disertai oleh rombongan daripada (sukarelawan) Dungun dan Kemaman. Jumlah peserta rombongan misi bantuan ini akan jadi lebih ramai lagi, insya-Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas Majlis Pelancaran Operasi Bantuan Pasca Banjir 2021 ke Pahang di perkarangan Muzium Negeri Terengganu, Kampung Losong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Mohd Nor dan Pengarah Urusetia Belia Sukan NGO Terengganu (UBSNT), Ustaz Mohd Nasir Razak.

Menurut Wan Sukairi, misi pasca bantuan banjir kali ini melibatkan tiga tugas operasi utama yang akan diagihkan mengikut kumpulan yang ditetapkan oleh pihak urusetia.

“Misi kali ini akan membuat kerja-kerja pasca banjir iaitu operasi pembersihan dan kita akan tumpu di Temerloh serta Mentakab. Operasi bersih rumah-rumah yang akan kita mulakan hari ini sebaik sahaja tiba di Pahang itu.

“Kedua, kita juga akan buat kerja-kerja bagi program Dapur Rakyat. Kita akan memasak, membungkus dan mengagihkan kepada penduduk terjejas banjir.

“Ketiga, kita akan agihkan barangan keperluan diri mangsa yang serba kekurangan termasuk agihan pek keceriaan untuk kanak-kanak seperti alat-alat tulis, mewarna, permainan, buku-buku sirah Nabi dan sebagainya,” jelas beliau.

Ketika ditanya, adakah misi bantuan ini turut ke Selangor atau negeri lain, katanya mengikut keadaan semasa dan keperluan di negeri-negeri yang ditimpa musibah banjir itu.

“Misi ini akan diteruskan lagi selepas ini mengikut keadaan semasa. Oleh kerana, di tempat kita ini tidak ada masalah yang besar lagi dan ada kemungkinan kita akan adakan lagi misi seterusnya, insya-Allah.

“Jika Pahang masih memerlukan bantuan, kita akan ke Pahang lagi tetapi jika Pahang sudah selesai dan Selangor masih memerlukan bantuaan, kita akan ke Selangor.

“Kita tumpu di Pahang kerana bencana banjir di Pahang ini lebih teruk daripada Selangor. Sebenarnya, negeri kita juga dalam situasi berjaga-jaga, jadi tugas itu dibahagi-bahagikan.

“Saya ucap terima kasihlah kepada semua agensi, jabatan, sama ada kerajaan negeri (Terengganu) mahupun kerajaan Persekutuan. Kita ada (peserta) daripada APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), PDRM (Polis Diraja Malaysia), Bomba, Majlis Belia, YPK (Yayasan Pembangunan Keluarga), Pejabat-pejabat Daerah, yang turut serta membawa aset-aset mereka,” ujarnya.

Menurut beliau, misi bantuan pasca banjir Pahang itu dijangka disertai seramai 200 orang sukarelawan badan beruniform dengan kos bantuan diperuntukkan sebanyak RM150,000 selama tiga hari itu.

Katanya, setiap peserta rombongan misi bantuan pasca banjir Pahang 2021 akan dibekalkan dengan ubatan sebagai langkah pencegahan daripada jangkitan wabak serta penyakit selepas banjir.

Malah, kata Ketua Khidmat Malaysia Kuala Terengganu itu, peserta rombongan juga diminta membuat ujian kendiri Covid-19 sebelum pergi dan selepas pulang kelak. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: