HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Disember 2021

ADUN PKR tawar RM1,000 kesan 4 menteri hilang semasa banjir

 Oleh SAYED HESHAM IDRIS

MUHAMMAD ARAFAT VARISAI MAHAMAD

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR, Muhammad Arafat Varisai Mahamad menawarkan ganjaran RM1,000 kepada sesiapa yang dapat mengesan empat menteri yang didakwanya masih hilang ketika rakyat bergelut dengan bencana banjir di seluruh negara.

Muhammad Arafat yang merupakan ADUN Hulu Kinta berkata, beliau membuat tawaran itu  kerana keempat-empat mereka tidak dilihat dalam misi membantu mangsa banjir.

“Saya menawarkan ganjaran RM1,000 kepada sesiapa yang boleh mengesan empat orang menteri Persekutuan. Tindakan saya ini terpaksa diambil kerana sampai sekarang tiada maklumat jelas daripada mana-mana pihak, di manakah mereka?

“Adakah mereka hadir majlis rasmi di luar negara dan kenapa langsung tidak terlibat dalam misi bantuan banjir?

“Sesiapa yang dapat mengesan keempat-empat ahli Parlimen ini boleh memberi maklumat melalui messenger Facebook YB Arafat – Pusat Khidmat Rakyat ADUN Hulu Kinta berserta nombor akaun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengeluarkan arahan menteri yang sedang atau merancang bercuti supaya membatalkan cuti sehingga bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai.

Menurut Muhammad Arafat, adakah kenyataan arahan pulang dari luar negara oleh Perdana Menteri itu merujuk kepada empat menteri tersebut.

“Sekiranya benar ini menunjukkan menteri-menteri ini tiada sifat mengutamakan rakyat.

“Sebagai menteri, tidak perlu tunggu sampai arahan dikeluarkan tetapi sepatutnya perlu segera pulang ke negara dengan sendiri apabila mengetahui negara dilanda bencana,” katanya.

Tiada ulasan: