Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Pewartaan undi 18 tahun yang dikuatkuasa bermula 15 Disember lepas merupakan peluang yang perlu dimanfaatkan anak-anak muda.
Pemerhati
politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar
berkata, anak muda kini sudah boleh menilai parti mana layak mentadbir
negara selepas melihat sendiri situasi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU)
yang menyaksikan kerajaan silih berganti.
Katanya, sebelum ini pengundi muda cenderung memilih PH, namun situasi itu sudah pun berubah sekarang.
“Undi mereka tidak lagi memberi kelebihan kepada mana-mana parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika dihubungi di sini.
Seramai 5.8 juta pengundi 18 tahun dan ke atas akan didaftar secara automatik, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperaku dan mewarta daftar pemilih terbabit.
Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk mengundi pada PRU ke-15.
Dr Rusdi juga berkata, jentera pilihan raya mana-mana parti perlu memainkan peranan bagi menarik golongan muda kerana kebanyakan mereka mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi.
Pengarah Ameerah Dewan Muslimat PAS Perlis, Puteri Fatin Nasyuhada Megat Mohamad Halim berkata penglibatan anak muda sangat penting dalam menentukan kepemimpinan negara.
“Mereka perlu mengambil tahu dan memberi komitmen secara sukarela untuk melibatkan diri dalam dunia politik.
“Golongan itu juga perlu menambah ilmu tentang pendidikan politik supaya mempunyai pendirian sendiri tanpa mudah dipengaruhi mana-mana pihak,” katanya.
Menurutnya juga penyertaan aktif dalam politik menjadikan anak-anak muda lebih matang untuk menapis maklumat dan berita palsu yang disebarkan.
Malah kata beliau anak-anak muda perlu bijak memilih pemimpin supaya negara ditadbir pemimpin yang telus, amanah dan bertanggungjawab.
Seorang pendidik Wan Nurul Wahidah Wan Mustafa Fikri, 33 berkata sistem pendidikan negara perlu menerapkan nilai kesedaran politik sejak di bangku sekolah lagi.
“Contohnya boleh dimulakan dalam subjek teras seperti Sejarah dan Pendidikan Islam bagi pelajar beragama Islam, manakala Pendidikan Moral bagi pelajar beragama lain.
“Jika sistem pendidikan tidak memainkan peranan memberi pendedahan ilmu perihal politik dan sejarah negara generasi muda tidak dapat membeza antara baik dan buruk,” ujarnya.
Di samping itu, kata Wahidah industri hiburan dan penyiaran juga perlu diselitkan dengan ilmu-ilmu berkaitan politik dan kenegaraan. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan