HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Disember 2021

Mahu rakyat bersatu padu tapi masih kekalkan polisi pecah belah kaum

 Siti Fatimah

Wujud perbezaan dalam sistem pembelajaran kerana sekolah vernakular

KUALA LUMPUR– Meskipun sedikit kecewa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes sekolah vernakular tidak memihak kepada empat badan bukan kerajaan (NGO), namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk memperjuangkan perpaduan negara.

Atas dasar itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) akan mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari susulan keputusan berkenaan.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, dalam perspektif perpaduan negara, dasar dan polisi kerajaan telah menyebabkan perpecahan kaum semakin hari semakin besar retaknya – meskipun lebih 60 tahun merdeka.

Dakwanya, antara punca utama – yang telah dibuat kajian pelbagai pihak – adalah disebabkan wujudnya perbezaan di dalam sistem pembelajaran terutamanya kewujudan sekolah vernakular.

“Ini tidak diambil kira… tetapi inilah sebenarnya yang menjadi agenda utama sehingga hari ini, perkara tersebut masih lagi begitu besar jurangnya sehingga kerajaan terpaksa wujudkan menteri perpaduan,” katanya kepada pemberita di pekarangan mahkamah hari ini.

Selain itu, beliau hairan dengan tindakan kerajaan yang mengekalkan polisi yang dilihat memecah-belahkan kaum, namun pada masa sama mahu rakyat bersatu padu.

“Di mana logiknya? Ini tidak diambil kira oleh mahkamah. Bagaimanapun kita tak berputus asa dan kita telah berbincang dengan pihak peguam bahawa kita akan mengemukakan rayuan dalam masa 30 hari daripada sekarang,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di sekolah berkenaan tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas menolak hujah yang dikemukakan keempat-empat plaintif.

Kesemua badan bukan kerajaan itu memohon untuk mendapatkan perisytiharan bahawa seksyen 2,17 dan 28 dalam Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan dua bahasa terbabit di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan peruntukan 152(1)(a) Perlembagaan.

Mereka juga memohon perisytiharan kewujudan dan penubuhan sekolah terbabit bertentangan dengan Perlembagaan.

Tiada ulasan: