Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad memberitahu mahkamah bahawa istilah "sial" yang digunakannya ke atas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman adalah kata-kata makian yang paling sopan.
"Dalam kata-kata makian, ini (sial) paling sopan antara kata-kata makian. Memang ada kata-kata lebih dahsyat.
"Bagi saya sial kata-kata marah makian paling sopan," katanya pada prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Ahli Parlimen Shah Alam berkata demikian ketika diminta menjelaskan makna "sial" semasa pemeriksaan semula dalam perbicaraan kes saman Tajuddin ke atasnya.
"Jahanam itu jarang saya pakai. Sial tidak membawa maksud jahanam.
"Bagi saya ia membawa maksud 'damn' atau 'cursed' iaitu menyumpah," katanya ketika menjawab soalan peguamnya Sankara Nair.
Prosiding hari ini adalah bagi perbicaraan penuh kes saman berhubung dakwaan Tajuddin bahawa Khalid memanggilnya dengan istilah "sial" pada dua sidang media di lobi Parlimen pada 21 dan 24 November 2016.
Istilah sial berkenaan diluahkan oleh Khalid di Dewan Rakyat selepas Tajuddin menyebut hanya Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) satu-satunya ahli parlimen wanita yang mempunyai 'Kok'.
Nama keluarga Kok adalah fonetik serupa dengan perkataan slanga untuk alat kelamin lelaki.
Susulan itu, Tajuddin mencabar Khalid supaya mengulangi perkataan "sial" di luar Dewan Rakyat kepadanya.
Kes saman itu turut melibatkan dua yang lain iaitu KiniTV Sdn Bhd dan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).
Terdahulu, ketika sesi pagi, peguam Tajuddin, Hasnal Rezua Merican merujuk kamus Oxford dwibahasa berkata bahawa perkataan "sial" membawa maksud jahanam, kecelakaan atau menyumpah.
Bagaimanapun, Khalid membalas bahawa "sial" adalah kata-kata ketika seseorang itu marah.
"Tak perlu bukan kamus. Dalam keadaan tidak setuju dengan tindakan seseorang. Kita gunakan kata-kata marah," katanya.
Perbicaraan diadakan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar akan bersambung semula esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan