HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Januari 2021

'Umno korbankan keselamatan rakyat demi rebut kuasa'

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Seramai 13 ahli parlimen pembangkang dan seorang senator membidas Umno kerana berterusan menuntut pilihan raya diadakan dalam keadaan negara mencatatkan peningkatan kes Covid-19 dan banjir buruk di beberapa negeri.

Mereka berkata negara semalam mencatatkan 1741 kes baru Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 120,818.

Sementara itu, beberapa negeri pula kini dilanda banjir buruk dan sehingga kini lebih 15,000 mangsa banjir dipindahkan.

"Peningkatan jumlah pengangguran terkini dan penyusutan pendapatan kepada banyak keluarga semasa tempoh pandemik ini semakin membimbangkan. 

"Dengan mempertimbangkan semua perkara ini, kami begitu terkejut dengan permintaan berterusan oleh Umno menuntut mengadakan pilihan raya dalam keadaan seperti ini.

"Hampir tiga minggu selepas belanjawan yang sepatutnya mesra rakyat ini diluluskan, Umno mahu menggunakan pilihan raya sebagai muslihat terakhir untuk merebut lebih banyak kuasa dengan mengorbankan kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia," jelas mereka dalam kenyataan tersebut.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Darell Leiking (Penampang), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Hannah Yeoh (Segambut) Yeo Bee Yin (Bakri), Baru Bian (Selangau), Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Salahuddin Ayub (Pulai), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Teo Nie Ching (Kulai) Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Khalid Samad (Shah Alam).

Seorang lagi yang turut serta dalam kenyataan bersama itu ialah senator, Marzuki Yahya.

Mereka juga memetik ucapan bekas presiden Umno, Najib Razak yang pernah berkata "Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!".

"Rakyat Malaysia mesti menolak cita-cita jahat dan sikap mementingkan diri demi kuasa.

"Kita telah cukup banyak kehilangan masa bertahun-tahun akibat salah laku pentadbiran dan rasuah. Negara ini perlu segera dirawat dan masa untuk merawatnya adalah sekarang!" kata mereka.

Untuk rekod sebahagian pemimpin Umno kini mendesak pilihan raya umum diadakan segera ketika hubungan parti itu dengan Bersatu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin goyah.

Antaranya Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakob yang memberi kata dua kepada kerajaan PN agar segera membubarkan parlimen atau dia melepaskan jawatan dalam kerajaan.

Semalam, Jazlan meletakkan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Selain itu, veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang memimpin Umno Gua Musang juga mencadangkan supaya PRU diadakan dalam suku pertama 2021 bagi menyerahkan mandat kepada rakyat.

Menurut Razaleigh sekiranya PRU tidak dapat diadakan dalam masa terdekat, ahli parlimen Umno perlu menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Tiada ulasan: