MALAYSIAKINI
Pemuda PKR (AMK) mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera mengumumkan tarikh sebenar vaksin Covid-19 tiba di Malaysia.
Ketuanya Akmal Nasir berkata hal itu diperlukan kerana setakat ini Putrajaya memberikan tarikh berbeza dan ia merunsingkan rakyat.
Katanya rakyat sendiri sudah sedia terbeban dengan "kegagalan berterusan" kerajaan menguruskan pelbagai kemelut yang melanda.
"Pada 13 Okt 2020, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa vaksin Covid-19 dijangka tiba selewat-lewatnya akhir 2020.
"Kemudian Menteri Kesihatan (Dr Adham Baba) memaklumkan fasa pertama vaksin Covid-19 akan mula diagih dan disuntik bermula Feb 2021; dan terbaru Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) pula menyasarkan pemberian suntikan vaksin Covid-19 di seluruh negara akan bermula pada Mac ini.
"Kenyataan berdolak-dalik ini merunsingkan rakyat yang sudah sedia terbeban dengan kegagalan berterusan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin menangani isu ekonomi, pendidikan, kesejahteraan rakyat, kesihatan awam dan lain-lain," kata Akmal dalam kenyataan media hari ini.
Terdahulu, ahli parlimen Johor Bahru itu mendakwa kerajaan gagal melaksanakan program vaksinasi seperti yang sepatutnya.
Katanya, negara lain seperti Indonesia dan Singapura sudah mula melaksanakan program vaksinasi.
"Bahkan Bangladesh juga akan memulakan vaksinasi secara penuh ke seluruh negara bermula 7 Feb ini namun Malaysia masih belum menyatakan dengan tepat tarikh sebenar suntikan vaksin Covid-19 secara percuma akan dijalankan," katanya.
Tambahnya, kerajaan perlu segera membentangkan kepada rakyat tarikh sebenar penerimaan vaksin di Malaysia serta garis masa pelan suntikannya yang digerakkan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan