Irwan Muhammad Zain
Dr
Mahathir juga menegaskan dakwaan Tommy bahawa nama Wan Azizah
pernah
dicadangkan sebagai perdana menteri interim sebagai karut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bekas Peguam
Negara, Tan Sri Tommy Thomas tidak tahu menahu tentang peletakan
jawatannya sebagai perdana menteri pada tahun lepas.
Dalam
jawapan balas sebanyak 35 perenggan yang disiarkan di blognya, Dr
Mahathir turut menjelaskan, nama Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail
langsung tidak disebut sebagai perdana menteri interim.
Dr
Mahathir juga menegaskan dakwaan Tommy bahawa nama Wan Azizah pernah
dicadangkan sebagai perdana menteri interim sebagai karut.
"Tommy
tidak tahu apa-apa langsung berkenaan peletakan jawatan saya. Menurut
Tommy, saya beritahu kepadanya bahawa Agong mahukan Wan Azizah sebagai
Perdana Menteri Interim (sementara).
"Ini
cerita karut. Selepas menerima dengan berat hati peletakan jawatan
saya, Agong cadangkan saya sebagai Perdana Menteri Interim. Nama Wan
Azizah tidak pernah disebut oleh Agong sebagai Perdana Menteri
Sementara," katanya.
Berikutan merupakan kenyataan penuh Dr Mahathir:
TOMMY THOMAS
(Terjemahan versi BM)
1.
Saya terkejut membaca petikan dari buku Tommy Thomas My Story: Justice
in the Wilderness. Tommy adalah salah seorang peguam yang benci saya.
Tetapi sebelum saya menjadi Perdana Menteri semula, Tommy telah datang
bersama Zainur Zakaria dan Ambiga, kedua-duanya juga pernah pada satu
masa menentang saya dan Zainur telah cadangkan nama Tommy sebagai Peguam
Negara.
2. Pada masa itu saya kecewa
dengan sebilangan Peguam Negara Melayu yang bersedia untuk taat kepada
Perdana Menteri (Najib) walaupun disuruh melakukan sesuatu yang salah.
Saya fikir ia satu perkara yang baik untuk lantik Peguam Negara bukan
Melayu.
3. Apabila saya jadi Perdana
Menteri ke-7, saya putuskan untuk lantik Tommy Thomas. Saya sedar orang
Melayu tidak akan suka. Tetapi Peguam Negara Melayu tidak bersungguh
dalam profesion mereka. Saya sedia terima kritikan orang Melayu. Tetapi
saya tidak dapat halang kecaman orang Melayu atas pelantikan Tommy
Thomas sebagai Peguam Negara.
4. Secara
umum saya berpuas hati dengan kerja Tommy. Dia jelaskan kepada saya
bahawa tidak ada kes untuk dakwa yang dikatakan penyokong LTTE ini. Saya
terima penjelasan itu dan menulis kepada Muhyiddin, Menteri Dalam
Negeri. Tommy buang kes tersebut. Kemarahan orang Melayu kepada saya
memuncak.
5. Tommy tidak tahu apa-apa
langsung berkenaan peletakan jawatan saya. Menurut Tommy, saya beritahu
kepadanya bahawa Agong mahukan Wan Azizah sebagai Perdana Menteri
Interim (sementara). Ini cerita karut. Selepas menerima dengan berat
hati peletakan jawatan saya, Agong cadangkan saya sebagai Perdana
Menteri Interim. Nama Wan Azizah tidak pernah disebut oleh Agong sebagai
Perdana Menteri Sementara.
6. Sebabnya
saya letak jawatan ialah kerana parti saya sendiri, Parti Pribumi
Bersatu Malaysia menolak nasihat saya untuk tidak keluar dari Pakatan
Harapan kerana pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan kesemua
ahli telah bersetuju untuk serah kepada budi bicara saya tarikh sesuai
untuk letak jawatan. Jelas mereka tidak hendak saya letak jawatan dan
beri laluan kepada Anwar. Anwar dan Wan Azizah hadir dalam mesyuarat
itu.
7. Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan
Tertinggi Bersatu, pada hari Ahad rayuan saya untuk diberi masa sebelum
buat keputusan keluar dari PH ditolak. Saya tahu apabila Bersatu bersama
kumpulan PKR Azmin keluar dari PH, Kerajaan PH akan jatuh kerana hilang
majoriti.
8. Walaupun saya merayu untuk
diberi masa seminggu untuk buat keputusan, malam itu Bersatu, kumpulan
Azmin dari PKR, UMNO dan PAS hadir makan malam di Sheraton Petaling
Jaya. Saya enggan hadir, kerana saya tidak dimaklum apa-apa sebelum itu.
Jelas sekali Bersatu, dipimpin Muhyiddin bersetuju bentuk pakatan
bersama UMNO, PAS termasuk kumpulan Azmin. PH tidak lagi jadi Kerajaan.
Mereka tidak boleh tunggu seminggu untuk saya buat keputusan.
9.
Saya terfikir tentang penolakan nasihat saya oleh MPT Bersatu dan
penyertaan Bersatu di Sheraton.
Nyata bahawa saya telah hilang keyakinan
dari Bersatu dan oleh sebab itu saya harus letak jawatan sebagai
Pengerusi parti. Jika saya letak jawatan sebagai Pengerusi, saya juga
tidak lagi mewakili Parti dalam PH. Jadi saya perlu juga letak jawatan
sebagai Perdana Menteri.
10. Setelah
diberitahu kepada pemimpin PH, saya menjangka akan mengadap Agong di
sebelah tengahari. Saya percaya YDPA telah terima surat peletakan
jawatan saya semasa pertemuan itu. Pada awalnya YPDA menolak peletakan
jawatan saya. Saya kekal dengan pendirian saya dan kemudian YDPA terima
keputusan itu. Tetapi YDPA minta saya jadi Perdana Menteri
sementara.
11.
YDPA tidak cadangkan nama lain, pastinya bukan Wan Azizah, Timbalan
Perdana Menteri (TPM). Saya tidak tawar diri tetapi tidak kena jika saya
menolak cadangan Agong.
12. Pada masa
itu Kerajaan Pakatan Harapan telah jatuh rentetan pengumuman Muhyiddin
mengeluarkan Bersatu dari PH di sebelah tengahari. Wan Azizah sebagai
TPM tidak boleh ambil alih jawatan kerana PH bukan lagi Kerajaan. Juga
tidak ada satu pun ahli PH boleh ambil alih daripada saya.
13.
Agong meminta 222 ahli Parlimen namakan Perdana Menteri baru yang
punyai sokongan majoriti ahli. YDPA mahu mereka buat pilihan dengan
tandatangan Akuan Bersumpah di hadapannya.
14. Ini mengambil masa selama 2 hari dengan YDPA menyaksi ahli Parlimen menamakan calon dan tandatangan akuan tersebut.
15.
Saya tidak menamakan diri sebagai calon tetapi saya telah jangka akan
menang. Seperti dinyatakan di atas, Majlis Presiden PH telah putus
menyerahkan kepada saya bila masa untuk saya letak jawatan.
Sebaliknya
YB Hamzah Zainuddin yang merancang kejatuhan PH telah memperoleh Akuan
Bersumpah dari semua ahli Parlimen UMNO dan PAS untuk sokong saya
sebagai Perdana Menteri.
16. Saya fikir
kedudukan saya telah diperkuat memandangkan kesemua Ahli Parlimen
Kerajaan dan Pembangkang menyokong saya. Tetapi rancangan Hamzah ialah
menjadikan saya Ketua kepada pakatan baru yang dianggotai UMNO, PAS dan
Bersatu. Saya masih lagi akan jadi Perdana Menteri dan ini akan
pengaruhi saya untuk tinggalkan PH.
17.
Tetapi ahli Parlimen PH tidak namakan saya sebagai calon mereka semasa
tandatangan akuan bersumpah di hadapan Agong. Anwar yakinkan mereka yang
dia mendapat sokongan ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dan bersama ahli
parlimen PH, memperoleh majoriti untuk jadi Perdana Menteri. Dengan itu
mereka namakan Anwar sebagai calon PH.
18.
Hakikatnya dia hanya disokong DAP, Amanah dan kumpulannya dalam PKR.
Mereka berjumlah 92. Saya cuma mendapat 62 sokongan. Jadi kami berdua
kalah.
19. Semasa Muhyiddin dinamakan
sebagai Perdana Menteri, dia tidak dapat sokongan majoriti. Tetapi
setelah dilantik dia tawar jawatan kabinet kepada ahli yang telah sokong
saya. Mereka beralih sokongan dan Muhyiddin mendapat lebihan dua
majoriti.
20. Semasa Tommy Thomas jadi
Peguam Negara, hubungan kami baik. Dia akan berjumpa saya untuk isu-isu
utama. Saya juga percaya dan pertahan dia ketika dikecam orang Melayu.
Tempoh khidmatnya hampir tamat. Saya cadangkan anugerah Tan Sri untuk
dia.
21. PAS tidak pernah secara langsung
minta untuk dia digugurkan. Tetapi saya telah terima banyak kecaman
kerana dia, dan saya fikir dia tidak perlu lagi disambung perkhidmatan
setelah tamat.
22. Tetapi apabila saya
letak jawatan sebagai PM dia datang berjumpa saya untuk beritahu yang
memandangkan saya yang lantik dia dan saya bukan lagi PM maka dia juga
rasa perlu letak jawatan.
23. Tulisannya
berkenaan peletakan jawatan saya cukup hebat. Saya selalu dilabel
diktator oleh pembangkang ketika jadi Perdana Menteri. Tak mungkin
pembangkang akan puja saya. Itu bukan sifat pembangkang. Tetapi saya
letak jawatan pada 2003 kerana rasa terlalu lama jadi PM. Diktator
biasanya tidak akan letak jawatan. Tapi sudah pasti yang menentang saya
tidak akan berhenti mendakwa saya diktator.
24.
Saya tidak ingin bosankan dengan berjawatan terlalu lama. Pada 2020
saya letak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu bukan atas kehendak saya,
tetapi parti telah hilang kepercayaan kepada saya. Saya juga yakin PH
sudah hilang majoriti dan tidak boleh lagi jadi Kerajaan. Saya juga
letak jawatan Perdana Menteri. Sebenarnya tak perlu pun letak jawatan
kerana kejatuhan Kerajaan PH bermakna saya bukan lagi PM.
25.
Berkenaan Kabinet pula, apabila PH hilang majoriti, Kabinet juga tidak
dapat kekal. Perkara 43 (4) Perlembagaan menyebut “Jika Perdana Menteri
tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana
Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas
permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
26.
Ini berbeza dengan 1969, apabila Perikatan punyai majoriti. Ia tidak
ditumbangkan seperti PH. Tunku dijangka akan jadi PM. Tetapi darurat
diisytihar, MAGERAN ditubuh dan dipimpin oleh Tun Razak. Kemudian Tunku
letak jawatan dan Tun Razak dilantik sebagai PM. Dia masih punyai
majoriti kerana Perikatan telah menang dalam pilihanraya.
27.
Begitu juga Barisan Nasional (BN) masih punyai majoriti apabila Hussein
putuskan untuk tidak mahu bertanding dan saya jadi Presiden UMNO dan
Perdana Menteri.
28. Semasa saya letak
jawatan pada 2020 PH telah hilang majoriti dan Agong tidak boleh terus
lantik Wan Azizah, TPM sebagai Perdana Menteri. Agong juga tidak meminta
Wan Azizah menjadi Perdana Menteri Interim.
29.
Sebenarnya tidak ada peruntukan untuk Perdana Menteri Interim. Saya
terima jawatan itu kerana proses pemilihan oleh 222 Ahli Parlimen
mengambil masa yang lama. Negara perlukan Ketua Kerajaan sementara.
Setelah ahli parlimen pilih Perdana Menteri baru, pelantikan saya
terhenti. Tetapi ahli parlimen tidak berikan majoriti jelas, Anwar
peroleh 92 manakala saya 62 undi.
30. Ya.
Peletakan jawatan ini pendirian peribadi. Saya tidak hantar surat
peletakan kabinet. Tetapi apabila Kerajaan PH tumbang, tidak ada alasan
untuk Kabinet kekal. Ia terbubar bersama Kerajaan.
31.
Saya hairan bagaimana seorang peguam tidak faham yang ini bukanlah
pertukaran Perdana Menteri.
Kerajaan PH telah tumbang. Agong tidak boleh
lantik Wan Azizah, TPM sebagai Pemangku PM. Sama seperti saya, dia juga
tidak punyai majoriti apabila PH ditumbangkan oleh Bersatu yang keluar
bersama kumpulan Azmin dari PKR atau Parti Keadilan. Samalah juga dengan
Kabinet.
32. Sebagai Perdana Menteri
Interim tugas saya ialah untuk menubuh Kerajaan. Ahli politik sibuk
bercakap tentang kepentingan parti mereka, bukan tentang negara.
33.
Saya berpendapat kita perlu lupakan tentang parti dan fikir tentang
negara. Oleh itu saya beritahu kepada semua Ketua Parti kita perlu ada
Kerajaan Perpaduan dan lupakan agenda peribadi. Kita juga perlu bawa
bukan ahli politik ke dalam Kerajaan.
34.
Saya masih ingat dengan jelas Tun Razak, Pengerusi MAGERAN, cuba untuk
bawa kesemua parti pembangkang ke dalam Kerajaan. Dia berjaya bawa
bersama Gerakan, PAS dan SUPP. Tetapi DAP tolak. Masih dia rasa berhak
untuk namakan perikatan baru yang dikenali sebagai Barisan Nasional.
35.
Saya fikir kita perlu perkara yang sama. Tetapi saya gagal kerana Kit
Siang dakwa saya mahu jadi Diktator. Dia sokong Anwar sebagai calon PH.
Jika 92 undi itu bersama saya, saya akan peroleh 154 undi. Bayangkan
bagaimana halatuju Negara jika kesemua parti meletakkan Negara ini
sebagai matlamat utama.
DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan