HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Februari 2021

Isa Samad didapati salah atas tuduhan rasuah RM3 juta

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Felda Isa Abdul Samad di dapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah melibatkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberikan penghakimannya sebentar tadi.

Isa, 71, asalnya didakwa atas satu tuduhan pecah amanah jenayah dan sembilan tuduhan membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites, tetapi mahkamah hanya mengarahkannya membela diri atas tuduhan rasuah. Sebaliknya dia dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah.

Isa, menteri besar Negeri Sembilan paling lama memegang jawatan itu (1982-2004) dan juga menteri persekutuan, didakwa menerima wang sebagai habuan untuk meluluskan pembelian hotel berkenaan.

Felda Investment Corporation Sdn Bhd membayar RM160 juta pada 2014 bagi pembelian itu, yang dilaporkan sekurang-kurangnya 50% lebih tinggi daripada nilai sebenar hartanah berkenaan.

Isa didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan lima kali nilai suapan diterima jika sabit kesalahan.

Mahkamah dijangka menjatuhkan hukuman selepas mendengar hujahan bagi meringankan hukuman.

Tiada ulasan: