HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Februari 2021

K'jaan S'gor kena saman - konspirasi tamat kontrak projek tanam semula hutan

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Sebuah syarikat dan lima anak syarikatnya telah mengheret kerajaan negeri Selangor ke mahkamah atas tuduhan konspirasi menamatkan kontrak projek penanaman semula hutan simpan yang telah berlangsung sejak tahun 2001.

Mega Forest Plantation Management Sdn Bhd dan lima yang lain memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini.

Syarikat lain yang disenaraikan sebagai plaintif ialah Megafores Nursery Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha sama dengan kerajaan negeri; dan anak syarikat Mega-Forestindah Paya Sdn Bhd, Mega-Foresternak Sdn Bhd, Megaforest Ideal Feed Sdn Bhd, dan Mega Forest Plantation Sdn Bhd.

Firma undang-undang Tetuan Akram Hizri & Azmir memfailkan tuntutan saman tersebut yang menamakan kerajaan negeri Selangor, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Jabatan Perhutanan negeri, dan syarikat Trieco Green Sdn Bhd dan General Gadget Solution Sdn Bhd.

Ketika dihubungi hari ini, peguam mewakili enam plaintif, Hizri Hasshan berkata saman itu difailkan kerana penamatan kontrak berkaitan dengan pengurusan hutan lestari berkenaan didorong oleh unsur politik tertentu.

"Terdapat beberapa elemen politik ketika MB (menteri besar) Selangor berubah kepada Khalid Ibrahim (setelah pilihan raya ke-12 pada 8 Mac 2008).

"Kerajaan negeri cuba keluar daripada projek itu dan membatalkan kontrak yang terlibat," dakwa peguam itu.

Hizri mendakwa anak guamnya hanya mengetahui kontrak penghutanan semula ditamatkan tahun ini.

Perkara pokok tuntutan saman itu merangkumi perjanjian sewa dan konsesi yang ditandatangani pada 22 Februari 2001, yang melibatkan tanah rizab seluas 5,000 hektar di Hutan Simpan Rantau Panjang dan 5,000 hektar Hutan Simpan Bukit Tarek, di Ulu Selangor.

Perjanjian tersebut dilakukan berdasarkan penghutanan semula di mana kawasan pokok Akasia Mangium di kedua hutan simpan akan diganti dengan Sentang, Jati dan spesies pokok lain yang dipersetujui oleh Jabatan Perhutanan Selangor. Konsesi itu bagi tempoh selama 60 tahun.

Mega Forest Plantation Management pada kenyataan media hari ini berkata saman tersebut dikemukakan setelah anak syarikat kerajaan negeri mengakhiri perjanjian usaha sama itu.

Isu tadbir urus k'jaan negeri PH

Plaintif mendakwa perjanjian itu ditamatkan atas alasan pelaburan mereka tidak sah kerana tidak menerima lampu hijau daripada menteri kewangan pada tahun 2001.

"Syarikat Mega Forest Plantation mempertikaikan mengapa perkara ini hanya dibangkitkan pada masa kini dan bagaimana keperluan perundangan tersebut tidak disemak oleh kerajaan negeri sedangkan semua perjanjian diteliti dan diluluskan oleh Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor pada ketika itu.

"Tindakan kerajaan negeri ini didakwa seolah-olah dirancang untuk mengusir pelabur selepas jutaan ringgit dibelanjakan untuk kos penanaman semula kawasan hutan simpan.

"Perkara ini jelas melibatkan isu integriti dan tadbir urus kerajaan negeri yang kini diterajui Pakatan Harapan," dakwa firma itu.

Menurut salinan pernyataan tuntutan saman, enam syarikat itu memohon mahkamah mengisytiharkan defendan-defendan "secara bersesama telah melakukan tort konspirasi (conspiracy to injure) untuk menafikan hak-hak plaintif-plaintif di bawah perjanjian usahasama dan tort campurtangan tidak sah (tort of unlawful interference) terhadap perniagaan plaintif-plaintif."

Mereka meminta pengisytiharan bahawa Jabatan Perhutanan Selangor dan Trieco Green menandatangani kontrak tidak sah yang merupakan konspirasi untuk memusnahkan aset (pokok ditanam semula) yang diusahakan oleh pihak plaintif.

Plaintif menuntut perintah mahkamah untuk mendapatkan ganti rugi atas kehilangan aset di tanah yang terlibat dengan kadar pasaran semasa, antara lain.

Mereka juga meminta perintah sementara mahkamah untuk menahan pihak defendan daripada melakukan pembalakan, menceroboh atau menjual aset tersebut, sementara menunggu keputusan tuntutan saman tersebut.

Tindakan undang-undang ini ditetapkan untuk pengurusan kes pada 1 Mac di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Tiada ulasan: