MALAYSIAKINI
Penerbit buku memoir bekas peguam negara Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice in the Wilderness' berkata pihak mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mengedarkan salinan lembut (softcopy) naskhah itu dalam talian.
“Kami menggesa supaya berhenti segera edar salinan buku My Story: Justice in the Wilderness oleh Tommy Thomas versi PDF yang diterbitkan syarikat kami SIRD.
“Kami meminta pihak berbuat demikian padam versi tersebut. Buku ini hanya tersedia dalam bentuk fizikal dan versi digital namun tetap dirahsiakan dan sulit.
“Kami memberi notis ini dengan niat baik dengan mengatakan versi cetak rompak merupakan pelanggaran harta intelek dan kami berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang mengenai perkara ini jika ia tidak dapat diselesaikan," kata penerbit tempatan Gerakbudaya dalam satu kenyataan hari ini.
Buku Thomas dilancarka pada 30 Jan dan habis dijual dua hari kemudian.
Menerusi notis di Facebook, Gerakbudaya berkata, pihaknya sedang mencetak semula buku tersebut.
Syarikat itu turut memberi jaminan kepada pihak yang menempah buku itu pada 29 Januari akan menerima salinan buku pada minggu pertama Februari.
Sementara itu, mereka yang menempah selepas 29 Jan akan mendapat buku tersebut akhir Februari.
Pengasas Gerakbudaya, Chong Ton Sin memberitahu Malaysiakini bahawa mereka telah menerima lebih 1,000 tempahan buku tersebut.
Gerakbudaya telah mencetak buku itu pertama kali sebanyak 2,000 dan habis terjual dua hari dan kini syarikat itu mencetak semula 5,000 salinan.
Jelas Chong, buku cetakan kali kedua itu dijadual tersedia pada 5 Feb.
“Bukan semua 2,000 buku dijual oleh pihak kami di kedai buku, separuh darinya ditempah dalam talian. Kami juga hantar sebahagian di kedai lain seperti Kinokuniya,” jelasnya.
*Laporan tambahan oleh Wong Kai Hui
Tiada ulasan:
Catat Ulasan