HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Februari 2021

Prosiding rayuan Najib terhadap sabitan SRC, ditangguhkan

PUTRAJAYA: Rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, tidak akan didengar pada 15 Februari ini.

Seorang peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, memaklumkan pemberita melalui mesej aplikasi WhatsApp bahawa prosiding rayuan yang ditetapkan pada tarikh itu sebelum ini telah dilapangkan.

Rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Darmafikri Abu Adam dan N. Kanageswari.

Menurut sumber, pengurusan kes itu akan disambung esok bagi menetapkan tarikh pendengaran baharu dan pengemukaan hujah.

Bernama difahamkan prosiding rayuan itu tidak akan diteruskan pada 15 Februari ini berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pindaan nota prosiding.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Nur Syahirah Hanapiah, yang juga mewakili Najib, menghadiri prosiding pengurusan kes itu, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul.

Pada 1 Oktober lalu, mahkamah menetapkan 12 hari bermula 15 hingga 18 Februari, 22 hingga 25 Feb dan 1 hingga 4 Mac depan untuk pendengaran rayuan berkenaan.

Najib mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuannya supaya beliau dibebaskan daripada tuduhan itu.

Pada 30 Julai, Najib memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan yang melibatkan RM42 juta dana SRC.

Dua hari sebelum itu, Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes CBT dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun, dalam kes penyalahgunaan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Najib kini bebas atas ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuannya selesai. – BERNAMA

Tiada ulasan: