HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Februari 2021

PRU-15 : Mampukah UMNO berjuang sendirian?

Khabarnya sejak Isnin lalu, pemimpin-pemimpin kanan UMNO agak sibuk selepas menghadiri satu pertemuan penting. Sejak Selasa satu demi satu mesyuarat diadakan. Dengar ceritanya, mereka kena buat keputusan penting.

Tetapi tak ada siapapun yang ‘tekan’ mereka berbuat demikian, cuma UMNO diminta buat cepat sikit keputusan kerana masa dah suntuk. Keputusan apa? Keputusan yang akan menentukan hala tuju perjuangan dan pertarungan parti itu seterusnya dalam PRU-15.

UMNO kena cakap nak terus kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau membawa haluan sendiri.

Ceritanya, dalam pertemuan penting itu seorang pemimpin kanan UMNO menyatakan dengan tegas, parti itu ada masalah sebab ‘majoriti’ ahli UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 manakala seorang lagi pemimpin parti tersebut yang dianggap ‘pemimpin masa depan’ juga secara tegas berkata, UMNO akan bertanding sekitar 90 kerusi termasuk di 15 kerusi milik UMNO yang kini dikuasai oleh Bersatu (Ahli Parlimen melompat).

Kalau dengar cara bercakap tu nampak tegas dan keras, tetapi bila dua pemimpin kanan Bersatu dan Pas bercakap, UMNO seolah-olah baru sedar adakah mereka bersedia berjuang bersendirian.

Kata-kata pemimpin Bersatu itu macam bermaksud, ‘’buatlah apapun keputusan tetapi cepat la sikit sebab masa dah tak ada. Kalau nak bekerjasama atau tidak, bagi tau awal senang, kita buat perancangan.’’

Maksud ‘perancangan’ itulah termasuklah soal pembahagian kerusi, dana dan persiapan lain. Namun jika UMNO membuat keputusan untuk berjuang sendirian tanpa Bersatu waima dengan Pas sekalipun, silakan sahaja kalau merasakan ia baik bagi parti tersebut.

Tetapi kena ingat lah, bila sudah buat keputusan, nak tarik semula bukan mudah. Justeru kena putuskan secara bijaksana bukan dipengaruhi sentimen seorang dua individu atau isu lain.

Ini soal masa depan UMNO dan PRU-15 penentu sama ada UMNO mampu bangkit semula atau tidak. UMNO tidak boleh salah percaturan kerana senario politik sudah berubah. UMNO tidak boleh rasa mereka mampu berjuang sendirian.

UMNO tidak ada kuasa, sebaliknya hanya menumpang untuk berkuasa. Khabarnya dari segi dana pun, UMNO ada masalah. Di PRN Sabah, dengar cerita perbelanjaan berkempen pun terpaksa ‘minta bantuan’ .

UMNO tidak boleh ego sebab merasakan masih mampu tarik sokongan pengundi khususnya orang Melayu dengan menjadikan keputusan beberapa PRK sebagai petunjuk. Tapi ingat , UMNO menang PRK dengan bantuan Pas dan masa itu pula Bersatu dalam Pakatan Harapan, yang DAP pun ada.

Sekarang, kedua-dua parti berada dalam satu gabungan. Bersatu dan Pas adalah anggota rasmi PN. Kalau tengok BN sekarang, UMNO hanya ada MCA dan MIC yang semua orang tahu setakat mana mereka kuat. Parti Sarawak dah lama angkat kaki.

Apakah UMNO begitu yakin kalau bertembung tiga penjuru mereka boleh menang? Penulis masih ingat bagaimana masa PRU-14 dulu, pemimpin-pemimpin UMNO menguar-uarkan parti itu boleh menang melalui pertarungan macam itu, tapi kesudahannya semua orang tahu apa yang berlaku.

Kajiselidik beberapa pihak juga membuktikan, pertarungan tiga penjuru boleh rugikan parti-parti Melayu berbanding jika mereka bergabung, malah ada hasil kajiselidik itu menunjukkan UMNO, Pas dan Bersatu mampu menang majoriti melebihi dua pertiga jika mereka tak berpecah.

Bukan sahaja soal pertiga, lebih daripada itu bersesuaian laungan parti itu perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air, UMNO perlu sama-sama perkukuhkan perpaduan Melayu bukan hancurkan apa yang sudah dibentuk melalui kerjasama dengan Bersatu dan muafakat bersama Pas.

Memanglah wujud sedikit sebanyak masalah dalam hubungan tersebut khususnya dengan Bersatu tapi adakah itu mahu dijadikan alasan untuk pecah belahkan kembali orang Melayu? Jika UMNO memilih bersendirian bermakna memilih untuk terus membiarkan Melayu berpecah lagi.

Selain itu, UMNO juga kena pertimbangkan isu integriti, ‘warlord’, cah keting yang masih ‘melekat’ pada parti yang pernah berkuasa selama 61 tahun itu. Walaupun dalam soal integriti hanya beberapa pemimpin terlibat dan UMNO kata itu pendakwaan terpilih, tapi ramai orang terutama kelompok tidak berparti mereka ‘ada pandangan lain’.

UMNO jangan lupa, sudah banyak kali orang cakap, untuk menang UMNO bukan hanya bergantung kepada ahli-ahli atau penyokong parti itu sahaja, sebaliknya memerlukan juga sokongan golongan ‘atas pagar’ dan pengundi baru dalam PRU-15.

Pemimpin-pemimpin UMNO boleh hujah apa sahaja terhadap pentadbiran Kerajaan PN, tetapi adakah UMNO yakin isu-isu yang digembar-gemburkan akan membantu parti itu menang pilihan raya? Janganlah teruja sangat dengan andaian UMNO boleh kembali berkuasa kerana dulu ketika menjadi kerajaan mereka lebih baik daripada kerajaan sedia ada.

Dalam pilihan raya segala kemungkinan. Apabila gelanggang sudah dibuka, semua senario boleh menjadikan faktor menang kalah sesebuah parti, ia termasuklah soal calon, jentera, isu dan segala-galanya.

Kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang hari ini dikatakan sudah berkumpul di Janda Baik, buatlah keputusan yang sebaik-baiknya – ini bukan soal membenci mana-mana parti atau untung nasib mana-mana pemimpin sebaliknya tersilap percaturan UMNO tidak akan mampu bangkit semula.

Lebih buruk lagi, UMNO akan dituduh menjadi punca orang Melayu kembali berpecah. Ketika itu jangan memberi alasan soal ‘dianaktiri’ atau dilemahkan, semuanya sudah terlambat.

Tiada ulasan: