HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Februari 2021

Sampai bila Tun mahu atur negara?

Nampaknya Tun Dr.Mahathir Mohamad masih belum reda kemarahannya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin. Justeru semalam bekas Perdana Menteri itu muncul dalam kenyataan khas secara langsung di Facebook untuk bercakap soal ‘Salah laku Muhyiddin Yassin’.

Bila sebut salah laku, macam-macam orang boleh tafsir, sebab dulu masa Tun jadi PM, ayat ‘salah laku’ ni cukup popular. Tapi tak perlulah kita ungkit nanti ada yang sensitif.

Rupa-rupanya yang Tun nak cakap semalam ialah pasal Darurat tak sah, PM tak ada majoriti, saham jatuh, pelabur lari, rakyat tak boleh bersuara, ini kerajaan diktator, Muhyiddin takut pi Parlimen, Muhyiddin beri nasihat tidak betul kepada Yang di-Pertuan Agong.

Semua ini bukan perkara baru, dah banyak kali dah kita dengar. Ramai dah cakap, ahli politik, NGO , peguam dan pihak-pihak lain. Jadi apa yang Tun cakap tu tak ada apa-apa, sebaliknya Tun yang masuk umur 96 tahun pula yang kena ‘attack’ dengan netizen.

Tak sanggup penulis baca komen-komen netizen, boleh dikatakan majoriti (bukan tipis tapi besar)  ‘belasah’ Tun.  Mereka hairan pasal apa Tun masih lagi nak atur negara sedangkan Tun yang letak jawatan. Semua huru-hara politik ni tak kan berlaku kalau Tun tak letak jawatan macam ramai orang cakap. 

Dan sekarang bila dah tak ada kuasa, dah tak kawan, dah ditinggalkan sekutu, Tun masih lagi nak tunjuk macam beliau masih ada kuasa dan pengaruh. Semua tu dah berlalu, Tun kena terima hakikat beliau sudah tiada kekuatan apa-apa lagi.

Walaupun ada yang kata pasti ada sesuatu bila Tun buat kenyataan pada hari yang sama dengan anaknya Datuk Seri Mukhriz dan wawancara Tun Daim Zainuddin bersama Free Malaysia Today disiarkan, bagi penulis tak ada apa-apa yang akan berlaku, semua tu ‘gempaq’ saja orang Kedah kata.

Keadaannya samalah apabila Tun mengadakan sidang media bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pada 14 Disember lalu, orang ingat ada yang besar akan berlaku, rupanya sekadar ‘gemparan’ dua ahli politik veteran. 

Dulu bolehlah. Sejak tahun 1984, Tun dan Daim bergabung atur negara dari BN memerintah sampailah PH berkuasa. Macam tak ada orang lain dah yang boleh menjadi Perdana Menteri atau menyusun ekonomi negara. Sampaikan bila PH memerintah dulu, Tun jadi PM, Daim pula jadi Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan.

Kasihan pemimpin PKR dan DAP, kedua-dua parti itu ada orang bijak-bijak belaka, bila bab mengkritik kerajaan BN sebelum PRU 2018 mereka paling hebat tapi akhirnya Tun panggil Daim juga untuk nasihat kerajaan, walaupun dah ada Kabinet.

Itu cerita lama, cerita sekarang ialah apa lagi Tun mahu? Seperti mana komen netizen, ‘’Dah..dah la tu biarla orang lain urus negara, Tun dok diam-diam.’’ – Tun tak akan dok diam, sebab itulah sejak meletakkan jawatan pada 2003 hingga ke hari ini, semua Perdana Menteri… Tun ‘serang’.

Ada saja perkara tak betul, bermula daripada Tun Abdullah Badawi diikuti Datuk Seri Najib Tun Razak dan kini Muhyiddin, semuanya jadi sasaran Tun. Itu belum lagi mengambil kira soal permusuhan beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tun rasa macam dia seorang sahaja boleh uruskan negara. Tindakan dan kritikan yang Tun buat ‘sampai orang pening –SOP – pinjam istilah Daim.

Kemunculan beliau untuk terus mahu mencampuri urusan negara atau orang Kedah kata ‘nak atuq negara’ hanya merendahkan martabat beliau sebagai seorang yang dihormati. Namun apa boleh buat itulah Tun Mahathir.

Kalau beliau sudah ‘bermusuh’ dengan seseorang bak kata orang ‘dendamnya hingga ke tulang hitam’- Kalau tak percaya tanyalah Pak Lah, tanyalah Anwar, tanyalah Najib dan sekarang Muhyiddin pula sedang merasainya. Soal hubungan dengan Pas, jangan cakap la, semua orang dah tahu.

Penulis tak nak minta Tun bermuhasabah kerana Tun pasti tahu apa yang beliau lakukan, walaupun sudah tidak relevan lagi. Cuma penulis hairan kenapa orang-orang Tun yang kononnya sayangkan Tun, membiarkan ‘dada Tun terbuka untuk ditembak’ dalam media sosial.

Betul, Tun banyak jasa kepada negara, tiada siapapun boleh menafikan hakikat ini. Jadi Tun tidak boleh dibiarkan dicaci, dikecam dan dimaki hamun dalam media sosial. Tun orang tua yang berusia 96 tahun, sekeras manapun beliau, kalau ada orang yang tepat menasihati beliau, pasti Tun tak keberatan mengikuti nasihat itu.

Tetapi masalahnya orang-orang Tun masih merasakan Tun boleh menjadi Perdana Menteri semula walaupun untuk enam bulan sebelum serah kepada Anwar seperti mana diidedahkan baru-baru ini. Terimalah hakikat Tun dah tak mampu, Tun dah tak ada kekuatan dan Tun sudah tidak popular lagi.

Rakyat bukannya tidak sayang kepada Tun, Rakyatnya bukannya tidak tahu jasa Tun kepada negara, tetapi mereka sudah bosan dengan ‘huru-hara’ politik yang Tun cetuskan. Kadang kala tindakan politik Tun dilihat macam ‘tidak masuk akal’ apabila sanggup bekerjasama dengan sesiapa saja asalkan agenda politiknya tercapai.

Siapa pernah terfikir beliau akan bergabung dengan DAP, siapa pernah terfikir beliau akan bekerjasama dengan Anwar yang pernah dipecat kerana dianggap ada masalah moral? Siapa sangka Tun akan menjadi bekas Presiden UMNO pertama jatuhkan partinya sendiri, jadi bekas Presiden UMNO pertama menubuhkan dua parti serpihan iaitu Bersatu dan Pejuang?

Memang tiada siapapun boleh tandingi cara Tun berpolitik tetapi cara itulah sekarang sedang menghumbankan Tun dalam keadaan tak tahu ke mana – kiripun tidak, kanan pun tak mahu – kawan dah tak ada, sekutu dah menolak, musuh makin menjauh. Kasihan.

Tiada ulasan: