Astro Awani
Syahir berkata, Abdul Hadi juga memberitahu akan memaklumkan situasinya
dari semasa ke semasa. - Facebook@akpdppm
KUALA LUMPUR:
Keadaan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dimasukkan ke
hospital malam tadi, dipercayai akibat sesak nafas, semakin baik dan
sudah boleh bercakap.
Setiausaha Politiknya Syahir Sulaiman berkata, Abdul Hadi juga memberitahu akan memaklumkan situasinya dari semasa ke semasa.
"Sekitar
7.30 pagi tadi saya terima panggilan daripada Tuan Guru (Abdul Hadi),
mohon maklumkan kepada semua, beliau sudah semakin baik, sudah boleh
bercakap dan bergurau," katanya ketika dihubungi pagi ini.
Ditanya
berhubung keadaan kesihatan Abdul Hadi sebelum ini yang dilaporkan
mungkin kepenatan, Syahir berkata, beliau ada menghadiri beberapa
mesyuarat selama seminggu ini.
"Dalam seminggu ini memang ada beberapa mesyuarat penting, cuma banyak masa beliau di Terengganu dan Kuala Lumpur.
"Tidak
ada petanda awal tentang kesihatan Tuan Guru. Cuma sekitar Maghrib
(semalam), Tuan Guru mengadu agak sukar untuk bernafas.
"Kami
bincang terus ke kecemasan untuk buat pemeriksaaan. Tuan Guru mahu ke
Institut Jantung Negara (IJN) dari Hospital Putrajaya,"
Dalam pada itu kata Syahir, Abdul Hadi pernah menerima rawatan dan pembedahan injap di IJN pada 2017.
"Kita ada jadual janji temu dari pihak IJN. Tuan guru sentiasa jaga makan dan ikut nasihat doktor.
"Kita
akan maklumkan apa perkembangan terkini, cuma atas nasihat doktor, kita
harap tuan guru dapat ruang untuk berehat, pelawat juga harus
dihadkan," katanya.
Sementara itu anak
Abdul Hadi, Muhammad Khalil dalam hantaran di laman Facebook sebentar
tadi menjelaskan, ayahnya dalam keadaan stabil dan perlukan rehat.
"Saya
baru bercakap dengan ayahanda Tuan Guru sebentar tadi. Keadaan beliau
stabil dan perlukan rehat. Mungkin kepenatan kerana jadual yang padat.
"Mohon doa dari semua semoga beliau terus sihat untuk berkhidmat kepada ummah," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan