KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan cara kerajaan menguruskan Covid-19 apabila menyifatkan Malaysia terkebelakang dalam bertindak untuk mendapatkan vaksin.
Membandingkan dengan negara jiran khususnya Indonesia yang telah mula menerima vaksin sejak Disember tahun lalu kata beliau, sepatutnya kerajaan melaksanakan strategi proaktif supaya rakyat dapat menerimanya lebih awal.
Anwar turut mendakwa beberapa isu melibatkan kos, jumlah dan tender vaksin Covid-19 tidak jelas.
“Strategi-strategi tentang vaksin. Sepertimana yang kita tahu ini juga sangat membimbangkan kerana negara-negara jiran telah pun berjaya dan kita telah mendengar pelbagai alasan untuk pertahankan keputusan kerajaan sebelum ini.
“Tapi soalnya, kenapa Indonesia, Singapura lebih jauh lebih berjaya dapat mengambil tindakan lebih awal dan memulakan suntikan vaksin kepada ramai rakyat dan ada yang sudah masuk pusingan kedua (dos suntikan kedua).
“Kita masih terkebelakang. Jadi strategi itu harus jelas bukan hanya mengumumkan 27 Febuari akan sampai. Untuk siapa? Jumlahnya? Berapa kosnya? Kontrak dan tender itu diperolehi oleh siapa?” katanya menerusi Facebook Live sebentar tadi.
Anwar selain itu menyifatkan Covid-19 berkait rapat dengan pengurusan kerajaan yang patut dilaksanakan dengan baik termasuklah penetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan wabak untuk semua lapisan masyarakat yang dianggapnya tidak tetap dan jelas.
“Ada orang kata ini lain urusan kerajaan lain, Covid-19 kita bersama. Bagaimana boleh kita tetapkan Covid-19 itu tanpa isu pengurusan kerajaan dan tatakelola.
“Nak beri ubat, bayar barisan hadapan, nak tentukan peruntukan-peruntukan. Apakah peruntukan itu untuk jabatan politik mencecah ratusan juta atau untuk dewan-dewan gagah perkasa dalam keadaan orang kelaparan tidak cukup makan dan katil-katil hospital sudah tidak cukup, banyak pesakit diminta tunggu di rumah.
“Sekarang ini oleh ada beberapa keputusan dibuat, ada bahagian yang kita terima, kadang-kadang kita terima keputusan kerajaan dalam menentukan beberapa peraturan dan mengetatkan peraturan tapi harus jelas. Biar jelas apa yang boleh apa yang tidak boleh jadi memudahkan penguatkuasa menjalankan tugas mereka,” katanya lagi.
Terdahulu, Ketua Pembangkang itu menyuarakan tentang keperluan untuk meluaskan ujian calitan Covid-19 selain memberi tumpuan kepada kluster-kluster yang menyumbang kepada penularan wabak itu. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan