Ramai ahli politik tidak
yakin negeri itu dapat mencapai imuniti kelompok Ogos depan dan menggesa
SPR laksana reform bagi pelaksanaan undi pos.
Ahli-ahli politik Sarawak dari kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang menyatakan persetujuan untuk menangguhkan pilihan raya negeri (PRN) yang sepatutnya dijadual dilaksanakan pada Jun susulan peningkatan drastik kes jangkitan Covid-19 di negeri itu.
Mereka berkata PRN boleh dilaksanakan selepas sasaran 70% vaksinasi dengan imuniti kelompok berjaya dicapai.
Ia bagi mengelakkan Sarawak berdepan krisis dahsyat seperti yang berlaku di India ketika ini gara-gara mengadakan lima pilihan raya negeri sehingga menjadi punca ledakan kes harian yang meningkat sehingga puluhan ribu.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata salah satu cara untuk meningkatkan imuniti kelompok di negeri itu adalah dengan mempertimbangkan penggunaan dos vaksin AstraZeneca selepas melihat kejayaan slot vaksinasi sukarela suntikan vaksin itu walaupun mendapat publisiti buruk jenama itu berhubung kesan sampingannya.
“Saya bukan doktor perubatan namun daripada apa yang saya baca mengenai Pfizer dan AstraZeneca, kedua-dua vaksin ini bagus. Puluhan juta orang divaksin dengan vaksin-vaksin ini,” kata Karim kepada MalaysiaNow.
“Saya rasa Sarawak harus menerima vaksin ini jika bekalannya ada, ini sebagai usaha untuk lebih ramai rakyat Sarawak mendapat vaksin susuan ‘pembukaan’ kepada mereka yang mahu divaksin dengan AstraZeneca,” katanya.
Karim berkata, PRN harus dielakkan ketika ini sejajar dengan amaran yang disuarakan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang mengatakan setiap pilihan raya yang diadakan ketika ini boleh menjadi bencana seperti apa yang berlaku di India.
“Keselamatan dan kebajikan rakyat Sarawak adalah perkara yang paling penting ketika ini. Saya sepenuhnya bersetuju dengan gesaan KP kesihatan untuk tangguh dulu pilihan raya sehinggalah situasi menjadi semakin baik,” kata Karim yang merupakan naib presiden PBB parti utama dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Pemimpin pembangkang Sarawak Wong Soon Koh turut berkata tidak melihat keperluan untuk melaksanakan pilihan raya dengan segera ekoran situasi pandemik di negeri itu ketika ini.
“Saya setuju PRN harus ditangguh sehingga pandemik ini sudah dapat dikawal dengan sebaiknya.
“Kita tidak perlu ikut India. Tambahan pula, kita sekarang berada di bawah perintah darurat. Saya fikir ada beberapa cara lain untuk pentadbiran diteruskan sehingga situasi Covid-19 jadi semakin pulih.”
Bagaimanapun, Wong tidak yakin imuniti kelompok di Sarawak dapat dicapai Ogos depan seperti yang disasarkan kerajaan negeri.
Pemimpin DAP Sarawak Dr Kelvin Yii turut bersetuju dan menyalahkan kadar rendah vaksinasi ketika ini sebagai faktor kegagalannya.
Beliau berkata warga Sarawak harus diberikan kebebasan untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca secara sukarela seperti yang dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Selangor.
“Apa pun, kita perlu tungguh majoriti populasi rakyat di negeri ini divaksin, selepas itu barulah pilihan raya dengan penyelarasan yang perlu boleh dipertimbang untuk diadakan.”
Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk keluar daripada kaedah biasa dalam melaksanakan pilihan raya.
“Ini termasuklah langkah-langkah keselamatan dan kesihatan bagi memastikan undi pos kebal daripada diganggu, ketelusan, adil dan memudahkan pemilih yang layak. Ini adalah bagi memberikan keyakinan awam kepada sistem pilihan raya itu sendiri.”
Yii berkata hal ini adalah penting kerana hampir 20% dari golongan yang layak mengundi di Sabah dan Sarawak tinggal dan bekerja di semenanjung.
“Kerana itulah saya gesa SPR untuk laksanakan undi pos atau kaedah sesuai yang lain untuk membolehkan warga Malaysia yang hendak mengundi dapat melakukan demikian tanpa sebarang kesukaran.
“Pembaharuan seperti ini lebih relevan, terutama menjelang PRN Sarawak yang akan datang.”
Dalam taklimat Covid-19 baru-baru ini, Noor Hisham memberi amaran sebarang pelaksanaan pilihan raya negeri akan menyebabkan pergerakan aktif orang ramai dari semenanjung, termasuk pengundi-pengundi pilihan raya.
Beliau mengambil contoh sebuah kluster yang menjangkiti lebih 2,000 orang akibat m dari seorang individu yang melakukan perjalanan ke negeri itu dari Johor.
“Bayangkanlah kalau orang Sarawak balik dari Sabah dan semenanjung untuk mengundi di kawasan pedalaman, jadi jangkitan pasti akan berlaku,” katanya dan menambah sebarang jangkitan di pedalaman Sarawak akan menyukarkan pihak petugas kesihatan mengawal penularannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan