HALAMAN SANTAI

Khamis, 20 Mei 2021

Akar umbi DAP turut sahut keterujaan UMNO untuk jalin kerjasama politik

AGENDA DAILY

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari yang memberi bayangan kerjasama politik dengan UMNO dan DAP boleh direalisasikan.

Selepas UMNO menyatakan kesediaan untuk bekerjasama, kini akar umbi DAP pula menyahut dengan keterujaan sama yang mengatakan komitmen untuk menjalinkan kerjasama politik tersebut atas dasar kepentingan rakyat.

Keterujaan tersebut disokong disuarakan Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari yang memberi bayangan kerjasama politik dengan UMNO dan DAP boleh direalisasikan memandangkan usaha ke arah itu kini semakin positif dan mula diterima akar umbi DAP sendiri.

“Tiada yang mustahil dan DAP ada cakap bekerjasama atas kepentingan rakyat terutama sekiranya ada dialog… dan ketika jalan buntu tiada kerajaan kuat.

“Misalnya di Perak baru berlaku, ini kita setuju untuk bekerjasama dengan UMNO apa masalahnya, dengan syarat kena patuh dan komited dengan ketelusan dan anti rasuah saya fikir itu boleh dibincangkan,” katanya kepada Agenda Daily.

Menurut Aziz, kemungkinan kerjasama politik tersebut berjaya tidak boleh ditolak sama sekali, malah sebelum ini DAP pernah bekerjasama dengan PAS dan mustahil untuk bekerjasama dengan UMNO tidak boleh menjadi sattu kenyataan.

“Nak bekerjasama dengan UMNO ini sebagai pengkhianatan dan sebagainya, tetapi soalnya sekarang ini bukan kerjasama tiada syarat apa-apa yang keduanya kalau dengan PAS boleh apa masalah dengan UMNO, lagi pun perkara itu tidak disebut secara terperici lagi apa yang nak serangnya.

“Kalau perkara itu dibincang secara terbuka dan betul tak semestinya orang menentang sebab itu saya kata Pakatan Rakyat mustahil bagi DAP duduk dengan PAS dan akhirnya jadi kawan baik,” katanya.

Agenda Daily sebelum ini melaporkan pemimpin akar umbi UMNO teruja untuk melihat kerjasama dengan DAP menjadi realiti rentetan langkah Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad menjemput wakil DAP, Ong Kian Ming dalam satu program bersama baru-baru ini di Bangi.

Sementara itu, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim memberikan pandangan berbeza dengan menggesa supaya kerjasama tersebut tidak patut ‘dihalalkan’ semata-mata ingin mengejar kuasa yang kini berada di tangan Perikatan Nasional (PN).

“Saya memang tak bersetuju kita masukkan DAP untuk bekerjasama, saya tak boleh terima jika itu yang UMNO ingin lakukan.

“Saya bukan ahli UMNO tetapi sebagai penyokong kuat ahli UMNO, kalau nak bekerjasama dengan DAP itu bukan caranya,” katanya.

Tunku Aziz juga menegaskan kerjasama tersebut dilihat mungkin tidak bersesuaian kerana bimbang dengan cengkaman DAP terhadap UMNO dalam kerjasama yang bakal terjalin.

Dalam pada itu, bekas Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw turut berkata, kerjasama UMNO dan DAP bukan perkara baharu untuk dibincangkan, namun ia tidak pernah tercapai sehingga hari ini.

“Perkara ini sudah berlanjutan bertahun-tahun, bukan perkara baharu lagi pada saya, pergi tanya DAP sendiri, saya sudah tidak terlibat.” katanya ringkas.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan mengenai pembentukan jajaran atau gabungan politik baharu yang dinamakan Perikatan 3.0 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau juga memberi bayangan bahawa ada usaha ke arah itu yang melibatkan gabungan bersama PKR dan DAP selepas mempertimbangkan kesesuaian dinamik politik negara yang sentiasa berubah atau mengikut perubahan semasa.

Tiada ulasan: