Timbalan Pengerusi AMANAH Kelantan Che Ibrahim Mohamed hari ini menjelaskan bahawa nasib para pengusaha dan peladang sawit tidak banyak berubah walaupun berlaku kenaikan harga sawit yang dikatakan tertinggi dalam sejarah.
Membidas sikap pengikut tegar Pas yang mendabik dada mengaku bangga bahawa kenaikan harga sawit itu adalah bukti kecekapan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang sebelum ini tular kerana langgar SOP selepas pulang dari Turki, Che Ibrahim berkata hakikatnya bukanlah sedemikian.
“Kenaikan harga sawit yang tertinggi sekalipun kali ini tidak dapat gembirakan para peneroka dan peladang sawit, kerana sebenarnya hampir semua ladang peneroka Felda dan Kesedar telah diserahkan kepada agensi itu untuk diuruskan atas pelbagai faktor ekonomi.
“Bila peneroka dah serah ladang pada agensi untuk diurus, mereka yang kita nampak mengusaha ladang sawit ini sebenarnya hanya terima elaun sara hidup bulanan dengan kadar tetap, jadi naik atau turun harga sawit tidak beri kesan kepada mereka”, kata beliau yang juga Ketua AMANAH Kawasan Ketereh.
Che Ibrahim yang juga memiliki ladang sawit itu menjelaskan, kenaikan harga sawit ketika ini juga tidak memberi manfaat kepada para pengusaha ladang sawit, kerana sekarang musim buah sawit berkurangan atau ‘mengawas’ bermula dari Januari hingga Mei setiap tahun.
“Jadi musim buah sawit kurang sekarang, naik harga tinggi mana sekalipun masih tidak beri kesan besar terutama kepada para pengusaha ladang sawit persendirian, nak untung macam mana walaupun harta tinggi tapi buahnya kurang?”, jelas beliau lagi.
Katanya, berikutan kesan paling besar itu yang dihadapi oleh para pengusaha ladang sawit sejak kebelakangan ini juga merupakan faktor utama kenapa kenaikan harga sawit kali ini tidak menjadi berita yang menggembirakan terutama kepada peladang.
“Kita syukur dan harap harga sawit ini kekal tinggi sehingga musim buah sawit lebat, antara Julai hingga November dimana ketika itu sawit sedang ‘jemerok’, dapatlah untung kepada pengusaha”, kata mantan Qadhi Jajahan Kota Bharu itu.
“Sebelum ini, harga sawit amat rendah, sedangkan kos penanaman, penjagaan dan pengurusan ladang sawit terus meningkat, ia menyebabkan ramai pengusaha sawit alami kerugian berpanjangan, sebab itulah kenaikan harga sawit yang sekejap ini masih tidak mampu tampung kos kerugian yang dialami para pengusaha ladang”, jelas beliau lagi.
“Jadi kita nasihat kepada para penyokong ‘totok’ parti tertentu, usah cepat berkokok gembira dengan tidak malunya mengaku kenaikan harga sawit ini hasil kejayaan menteri, sedangkan harga sawit ditentukan oleh lembaga antarabangsa, dan kenaikan hari ini bukan jaminan beri untung serta merta pada esok”, tegur beliau kepada penyokong menteri sawit.
Sebelum ini, Menter berkenaan Khairudin Aman Razali ini hanya dikenali rakyat bukan kerana prestasinya sebagai menteri, tetapi kerana tindakan beliau melanggar SOP perintah kuarantin setelah pulang dari lawatan luar negara di Turki, ketika negara sedang dalam PKP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan