1. Pakatan Harapan (PH) begitu optimis akan membentuk kerajaan selepas PRU15 dan menyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon Perdana Menteri (PM) jika PH memperolehi majoriti yang cukup.
2. Anthony Loke, Setiausaha Organisasi DAP mensyaratkan jika mana-mana parti yang ingin bekerjasama dengan PH dalam pilihan raya umum akan datang hendaklah menerima Anwar sebagai calon PM.
3. Syarat yang dikemukakan DAP ini tentulah ditujukan kepada parti-parti lain yang dilihat tidak menyokong Perikatan Nasional seperti parti Warisan termasuk juga Parti Pejuang dan Parti Muda yang sedang menanti kelulusan pendaftaran parti itu daripada RoS.
4. Loke juga membayangkan kemungkinan partinya DAP bersama-sama PKR dan AMANAH di dalam PH akan bekerjasama dengan UMNO pada musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti, itu pun dengan syarat UMNO hendaklah bersetuju Anwar menjadi calon PM.
5. Syarat yang dikemukakan ini mungkin tidak menjadi masalah besar kepada UMNO kerana bunga-bunga jalinan kerjasama ini nampaknya telah diungkap sendiri oleh Presiden parti itu di dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 ketika menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15 nanti.
6. Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memberi bayangan parti yang dipimpinnya itu tidak menolak kemungkinan akan membentuk jajaran baharu dengan parti lain jika pilihan itu yang terbaik untuk membentuk kerajaan baharu tanpa PN.
7. Masalahnya apakah semudah itu UMNO boleh menebus maruahnya yang secara terang menolak Anwar menjadi PM dan juga tidak akan bersekongkol dengan DAP.
8. Keputusan ‘No Anwar’ dan ‘No DAP’ yang digemakan di dalam PAU 2020 itu walaupun ia dilihat bertentangan dengan kecenderungan Zahid sendiri yang lebih mereng dengan Anwar yang dianggap sebagai cikgunya, namun bukanlah ia menjadi rumit untuk Zahid membetulkan salah faham ahli-ahli UMNO ini.
9. Zahid yakin akhirnya nanti ahli-ahli UMNO boleh menerima Anwar walaupun sukar untuk UMNO selenggang bersama DAP.
10. UMNO nampaknya sudah berpatah arang berkerat rotan tidak boleh bekerjasama lagi dengan PN. Parti daulah Melayu ini dilihat lebih serasi bermukah dengan PKR dan DAP setelah kecewa untuk mengangkat martabat penyatuan Melayu bersama PAS dan PPBM. UMNO semakin berani mengalihkan sauhnya untuk mendayung era perjuangan keMelayuannya bersama PKR dan DAP.
11. Apa yang pasti kehadiran UMNO dalam jajaran baharu bersama PKR, DAP dan AMANAH bakal menyaksikan episod norma baharu politik yang diimpikan oleh UMNO sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan