HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Mei 2021

Benar pembangkang sertai MKN, Guan Eng beritahu kerajaan

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata Perdana Menteri perlu 
bekerjasama dengan rakyat jika mahu memastikan PKP 3.0 berjaya.

PETALING JAYA: Kerajaan patut menjemput pemimpin pembangkang menyertai Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memperkukuhkan barisan hadapan menentang Covid-19, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Lim berkata, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin perlu bekerjasama dengan rakyat jika mahu memastikan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 berjaya.

“PKP 3.0 boleh menjadi (yang) terakhir bagi Malaysia jika kerajaan Perikatan Nasional mengakui kegagalannya, mengembalikan Parlimen, menghentikan pusingan U prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan dasar, (dan) mengakhiri amalan dua darjat dalam penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata, kerajaan telah mensabotaj diri apabila Muhyiddin berjanji pada Mac bahawa PKP tidak akan diadakan di seluruh negara, kemudian melaksanakannya kurang dua bulan kemudian.

Beliau berkata, peraturan “buka, tutup dan kemudian buka” kerajaan mengenai operasi tadika dan pusat jagaan harian kanak-kanak juga menimbulkan kekeliruan dan defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat.

“Amalan dua darjat dalam penguatkuasaan juga memburukkan lagi defisit kepercayaan rakyat,” katanya.

Lim menyeru kerajaan memastikan rakyat kembali yakin kerana perang melawan Covid-19 hanya boleh dimenangi dengan kerjasama rakyat.

Sementara itu, beliau berkata Muhyiddin dijangka mengumumkan langkah bantuan kewangan bagi rakyat yang terjejas akibat PKP terbaru.

Fokus kewangan kerajaan, kata beliau, sepatutnya beralih daripada mengawal tahap hutang negara dan defisit fiskal, kepada meminjam lebih banyak wang untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan, dan mata pencarian ekonomi

“Adakah Muhyiddin akhirnya akan menunaikan janjinya untuk melanjutkan moratorium pinjaman bank secara automatik (kecuali bagi T20) dan menaikkan bayaran bulanan bantuan kebajikan kepada RM1,000, termasuk bagi golongan penganggur?” soal Lim.

Tiada ulasan: