HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Mei 2021

Buru pengacau barisan hadapan dan ambil tindakan tegas: Hadi

AGENDA DAILY

Duta Khas YAB Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa polemik perang siber di Malaysia sekarang ini sudah semakin melampau.

Kumpulan pengacau barisan hadapan yang sengaja mencetuskan provokasi dengan niat menghasut orang ramai ke arah kebencian perlu diburu dan dikenakan tindakan tegas, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu menyifatkan kumpulan itu sebagai makhluk perosak yang memainkan peranan secara tersendiri melalui saluran media terbuka secara bebas khususnya media sosial bagi membuat onar terhadap barisan hadapan negara yang boleh melemahkan semangat mereka.

“Golongan ini hendaklah diburu di mana sahaja tempat persembunyian mereka dan dari mana sahaja datangnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru beliau mengingatkan kepada pengacau supaya menghentikan agenda yang berkepentingan sendiri, tatkala negara berada dalam tempoh darurat susulan peningkatan kes Covid-19.

“Dalam tempoh darurat hari ini, kita hendaklah melupakan perbezaan agama, bangsa, fahaman politik dan segala kepentingan termasuk kepentingan harta perniagaan dan diri setiap individu. Malah, kita wajib tolong-menolong bagi menyelamatkan semua nyawa dalam keadaan darurat yang dihadapi sekarang,” tegasnya.

Katanya lagi, dalam keadaan sekarang, semua pihak wajib memberikan sumbangan harta dan tenaga masing-masing, bahkan boleh dikerahkan untuk memberikan sumbangan secara paksa yang dilakukan dengan sistematik dan terkawal.

Sementara itu, Hadi berkata langkah kerajaan melaksanakan darurat ketika ini tepat pada masanya, ia demi memastikan kemaslahatan rakyat dijaga.

“Maka kerajaan mengambil langkah yang pantas, bermula daripada persediaan peralatan dan anggota yang mencukupi, termasuklah persediaan anggota sokongan yang perlu ditambah dan dilatih.
“Peruntukan kewangan darurat juga wajib disediakan secukup-cukupnya, khususnya bagi menampung kos perbelanjaan untuk kegunaan barisan hadapan, anggota perubatan, keselamatan, keamanan dan segala agensi sokongan yang lain,” tegasnya.

Meskipun tidak menamakan secara terbuka siapakah pengacau yang dimaksudkan, boleh difahami kumpulan pengacau yang dimaksudkan oleh Hadi adalah mereka yang mencipta fitnah bagi memburukkan barisan hadapan untuk merosakan imej kerajaan ketika ini.

Tiada ulasan: