KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak membidas kenyataan Menteri Kewangan yang menyatakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) pada 10 Mei 2021 dijangka tidak akan memberi impak yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi kerana hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.
Bekas perdana menteri itu berkata, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz tidak boleh pukul rata kerana ekonomi ada dua jenis – ekonomi eksport/pembuatan dan ekonomi rakyat tempatan.
Ekonomi eksport dan pembuatan terutamanya barang elektronik adalah kukuh pada masa kini sebab ekonomi-ekonomi gergasi seperti Amerika Syarikat dan China sedang catat pertumbuhan ekonomi yang luar biasa tinggi pada masa kini.
Tapi yang dapat manfaat adalah tauke-tauke dan pemilik asing kilang-kilang besar.
Manakala ekonomi rakyat tempatan seperti Makcik Kiah sudah tentu terjejas dan sedang berpeluh menghadapi dengan PKP 3.0 hanya dua bulan selepas PKP 2.0 berakhir.
”Cuba tanya pengusaha bas sekolah dan pengusaha bas ekspress yang tidak dapat beroperasi. Tanya pemilik gerai tepi jalan serta restoran yang penjualannya terjejas akibat no dine-in masa PKP.
”Tanya pada sesiapa yang terlibat dalam sektor pelancongan dan hiburan yang langsung tidak dibenar beroperasi berbulan-bulan lamanya. Tanya peniaga-peniaga kecil bazar Ramadan, bazar Aidilfitri atau pasar malam.
”Nak kata PKP 3.0 tiada impak besar pada mereka tapi siapakah yang bayar sewa dan gaji pekerja pada akhir bulan?,” soal Najib yang juga bekas menteri kewangan.
Beliau berkata, semasa PKP 1.0 rakyat masih ada sedikit simpanan dan bantuan kerajaan banyak manakala ketika PKP 2.0 tabung simpanan rakyat sudah lama pecah dan bantuan kerajaan sikit tapi masih ada duit i-Lestari dan i-Sinar.
Ketika PKP 3.0 tabung simpanan pecah. Duit i-Lestari dan i-Sinar habis diguna tapi masih tak ada bantuan khusus diumum.
Oleh sebab itu, bantuan adalah masih amat diperlukan sebab pemulihan ekonomi sekarang adalah bentuk “K” dan tak sama rata.
Ada sektor yang bersyukur dengan durian runtuh tapi banyak sektor yang tunggu runtuh apabila sekejap diarah tutup dan sekejap dibenarkan dan sekejap diarah tutup semula.
”Sebab itu, saya kata PKP 2.0 dan PKP 3.0 adalah tidak adil bagi berjuta-juta rakyat biasa sebab ianya lebih mementingkan dan melindungi syarikat-syarikat besar dan pemilik asing kilang-kilang barang eksport.
”Jika perlu berkorban sebab keadaan Covid sudah kritikal maka semua perlu berkorban untuk seketika supaya semua mendapat kelegaan bersama apabila rantaian Covid berjaya diputuskan. Tapi pendekatan kerajaan untuk PKP 2.0 dan PKP 3.0 amat berbeza sekali.
“Yang kaya dan pemilik kilang asing dilindung tapi Rakyat biasa pula yang disuruh berkorban memanjang dan disuruh terus menghadapi jumlah kes Covid tinggi selama 8 bulan sejak gelombang ketiga bermula pada bulan Oktober lalu,” katanya yang menyifatkan lapan bulan dengan kes Covid-19 tinggi setiap hari bukan tempoh yang singkat, padahal banyak lagi negara lain sudah berjaya kawalkan Covid-19 dalam tempoh masa yang pendek. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan