AGENDA DAILY
Majoriti golongan belia Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun tidak mengambil tahu mengenai politik negara, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai rancangan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.
Kaji selidik dilakukan Merdeka Center juga mendapati golongan berkenaan tidak dapat memahami apa yang sedang berlaku terhadap politik negara.
“Lebih dari dua pertiga menyatakan tidak berminat untuk menyertai politik. Hanya sekitar 30 peratus sahaja yang menyatakan minat, terutamanya di kalangan lelaki, Melayu dan golongan berpendapatan tinggi,” kata laporan itu yang diterbitkan hari ini.
Mengenai pendedahan terhadap perkembangan politik, sebanyak 46 peratus daripada beliau yang ditemu bual memberitahu mereka mengetahuinya menerusi media sosial.
“Kajian juga mendapati 78 peratus beliau berpendapat politik dan kerajaan adalah rumit dan mereka tidak dapat memahami apa sebenarnya yang berlaku,” kata kajian itu.
Merdeka Center melakukan kajian itu pada 19 Februari hingga 20 Mac.
Responden terdiri daripada kalangan latar belakang kaum yang mencerminkan demografi Malaysia, 71 peratus daripadanya menyelesaikan pendidikan tinggi, sementara sekitar 40 peratus bekerja di sektor swasta dan 28 peratus masih belajar.
Kajian itu juga mendapato 66 peratus menolak ahli politik dengan menyifatkan mereka ‘tidak peduli apa yang orang seperti saya fikirkan’.
Tinjauan tersebut membabitkan wawancara melalui telefon bersama 2,520 belia dilakukan beberapa hari sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Undi 18 hanya dapat dilaksanakan pada September 2022.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi jaminan pelaksanaan undi 18 tahun akan dilaksanakan pada tahun ini.
Beliau berkata, rakyat yang berumur 18 tahun mempunyai hak untuk mengundi, sekali gus menentukan kepimpinan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan