HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Mei 2021

Kerajaan mesti jawab dakwaan Ketua Polis Negara – Anwar

KERAJAAN Perikatan Nasional seharusnya menjawab segala dakwaan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa terdapat campur tangan politik dalam institusi tersebut.

Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar turut menggesa agar siasatan menyeluruh dan lengkap dilakukan bagi menyiasat tuduhan yang dilakukan oleh Abdul Hamid.

Ketua Pembangkang itu berkata, pendedahan oleh Ketua Polis Negara itu amat mendukacitakan serta telah mencemarkan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sebagai sebuah badan utama negara dalam mengangkat kedaulatan undang-undang, PDRM seharusnya bersifat bebas daripada campur tangan politik.

“Campur tangan yang berlaku ini secara tidak langsung membuktikan pemerintah yang tiada keabsahan ini menggunakan pelbagai cara dan helah untuk berpaut pada kuasa.

“Langkah ini juga telah merobek keyakinan rakyat sehingga boleh menimbulkan kesangsian terhadap kredibiliti PDRM saat ini,” kata Anwar.

Pada sidang akhbar terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara, Abdul Hamid berkata, orang politik cenderung untuk menggunakan PDRM demi kepentingan politik dan perkara itu perlu dihentikan.

Malah, beliau mengakui tidak senang dengan tindakan campur tangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin menyebabkan beliau mempunyai hubungan yang tidak baik dengannya.

“Ini yang patut dihindarkan (campur tangan), tidak boleh seseorang menteri campur urusan kawal selia PDRM.

“Beliau (Hamzah) hanya diberikan kuasa untuk tetapkan dasar… apakah hala tuju pasukan, adakah pasukan ini pincang ataupun pasukan ini ada masalah.

“Itu peranan dan tanggungjawab beliau (sebagai Pengerusi SPP), bukannya tentukan siapa CPO (Ketua Polis Negeri) siapa pengarah, peranan beliau sebagai Pengerusi SPP ada hadnya,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman Jumaat lalu.

Kata beliau, tindakan ahli politik yang dilihat cuba menguasai SPP dan PDRM akan menyukarkan tugas Ketua Polis Negara dalam mengawal selia PDRM.-SM

Tiada ulasan: