AGENDA DAILY
Insiden rogol yang didakwa membabitkan kenalan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham kini bertukar episod baharu, apabila mangsa menuduh ahli politik muda itu pula sebagai perancang utama kejadian 5 Disember lalu.
Tuduhan terbaru itu terkandung dalam satu laporan polis bertarikh 8 Mei – beberapa jam setelah laporan awal 5 Disember 2020 tersebar di media sosial.
Peguam Asheeq Ali mengesahkan mangsa membuat laporan keduanya, yang kemudian tersebar di Facebook.
“Laporan kedua itu asli. Kami tak pasti bagaimana kedua-dua laporan itu dibocorkan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Kassim pada masa itu mengesahkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol.
Pada masa itu, Azmi berkata mangsa telah menarik balik laporan awalnya pada 8 Disember, tetapi sekitar Januari membuat permohonan kepada polis agar meneruskan siasatan mereka.
Berdasarkan laporan pertamanya, mangsa mendakwa Hilman menjemputnya ke sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk meraikan ulang tahun kelahirannya pada Jumaat, 4 Disember, bersama salah seorang kenalan Hilman dan dua rakan wanita lain.
Kata mangsa, Hilman menyertai mereka ketika di bilik karaoke selepas makan malam, di mana mereka kemudiannya mabuk.
Dalam laporan keduanya, mangsa berkata dia dimaklumkan oleh salah seorang rakan perempuan yang turut hadir pada malam kejadian, bahawa makan malam dan sesi karaoke itu dikatakan merupakan satu ‘set-up’ (perancangan) oleh Hilman.
Mangsa berkata, dia kemudiannya menulis kepada polis pada 12 Januari, meminta kes itu dibuka semula.
Dia turut mendakwa laporan pertamanya ditarik semula kerana individu-individu yang dinamakannya di dalam laporannya itu mengugut dan memberikan tekanan kepadanya.
Ekoran itu, mangsa berkata dia merakam kenyataan dengan pihak polis, kali ini dengan mendakwa Hilman turut terlibat dalam insiden berkenaan.
Bagaimanapun, dalam laporan awalnya, mangsa percaya Hilman tidak bertanggungjawab atas serangan seksual itu, namun “tidak pasti” yang mana antara dua rakan Hilman itu yang melakukannya.
Sementara itu, Asheeq mengesahkan bahawa anak guamnya telah mengenal pasti dirinya sebagai wanita yang dilihat bersama seorang lelaki – yang dia dakwa ialah Hilman.
Minggu lalu, Hilman menafikan sepucuk surat yang dikaitkan dengan insiden itu sebagai palsu.
Dalam surat berkenaan, dia dikatakan meminta maaf kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kejadian itu.
Dia bagaimanapun tidak mengulas berkenaan video berkenaan.
Hilman sehingga hari ini tidak memberikan maklum balas berhubung semua dakwaan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan