HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Mei 2021

Maria Chin fail semakan kehakiman cabar komital di Mahkamah Syariah

azrulhakimie

Kritik keputusan mahkamah jatuh hukuman penjara ke atas bekas isteri seorang ahli perniagaan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan prosiding komital terhadapnya kerana mengkritik keputusan mahkamah itu yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas bekas isteri seorang ahli perniagaan.

Maria, 65, selaku pemohon memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 3 Mac lalu dengan menamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP) dan Jabatan Kehakiman Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dalam permohonan itu, Maria antaranya memohon satu perintah certiorari membatalkan tindakan dan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bertarikh 14 Okt 2019 yang membenarkan Perintah Kebenaran Pengkomitan dan Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan ke atasnya, kerana ia bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta menyalahi Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998) (Akta 585).

Maria memohon satu perintah certiorari membatalkan tindakan responden ketiga (Jabatan Kehakiman Syariah) untuk membenarkan prosiding pengkomitan terhadapnya atas alasan ia adalah ‘mala fide’ kerana proses permulaan prosiding itu ternyata bercanggah dengan peruntukan undang-undang seperti termaktub dalam Akta 585 dan Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Beliau juga memohon satu perintah mandamus terhadap Zulkifli supaya mengarahkan MAIWP dan Jabatan Kehakiman Syariah untuk tidak mencabuli hak kebenaran asasi pemohon dan mematuhi Peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 4 Disember tahun lepas, Maria diperintah mengemukakan tunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Syariah itu.

Ini berikutan mahkamah berkenaan menolak permohonannya untuk mendapatkan tempoh lanjutan masa bagi mencabar keputusan mahkamah itu membenarkan prosiding menghina mahkamah (komital) dimulakan terhadapnya.

Permohonan untuk memulakan prosiding komital itu dikemukakan oleh seorang ahli perniagaan berikutan Maria mengeluarkan komen dan mengkritik keputusan mahkamah yang memerintahkan hukuman penjara terhadap bekas isterinya.

Sementara itu, peguam Rosli Dahlan yang mewakili Maria berkata mahkamah menetapkan 31 Mei untuk pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin hari ini yang sepatutnya ditetapkan untuk pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman itu.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili semua responden pula berkata Jabatan Peguam Negara akan membantah permohonan kebenaran tersebut.

Beliau berkata prosiding komital ditetapkan pada 4 Jun bagi membolehkan permohonan kebenaran didengar dahulu. – Bernama

Tiada ulasan: