HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Mei 2021

Najib hanya syok sendiri, kata Dewan Ulamak PAS Pusat

AGENDA DAILY

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi membidas sikap Datuk Seri Najib Razak.

PAS menganggap ‘troll’ dan lontaran polemik dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di media sosial berkait isu semasa, termasuk Covid-19, sekadar keseronokan untuk mendapatkan reaksi ‘suka’ pengikut sendiri.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berpendapat apa yang ditulis oleh Najib tidak memberi apa-apa faedah kepada keadaan negara sekarang.

“Dato’ Seri Najib Razak juga dinasihatkan agar kurangkan troll dan lontaran polemik yang tidak memberikan apa-apa faedah kepada situasi sekarang ini, perkara tersebut hanya keseronokan untuk mendapatkan reaksi ‘suka’ oleh pengikut sendiri di media sosial sahaja.

“Beliau sebagai mantan Perdana Menteri sepatutnya turut serta bersama dalam fokus ini membantu rakyat yang susah dan seiringan dengan tindakan kerajaan jika benar berjiwa besar setelah tidak lagi menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Puteh menyifatkan kenyataan media sama ada berbentuk video atau tulisan oleh ahli politik yang membawa naratif kononnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal susulan peningkatan angka positif Covid-19 adalah satu kerja jahat yang merosakkan ‘mood’ petugas barisan hadapan dan rakyat yang kini bersama-sama dengan kerajaan PN.

“Lontaran persoalan mengenai peningkatan angka positif sedangkan penguatkuasaan PKP, PKPD, PKPB dan PKPP sedang berlangsung adalah persepsi yang tidak wajar bagi seorang ahli politik malah seakan lupa akan segala yang berlaku terkait dengan ketentuan dari Allah sebagai ujian.

“Kita sebagai manusia hanya rancang, usaha dan ikhtiar, selebihnya adalah serah pada ketentuan daripada Allah. Peningkatan angka positif ini bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja malah boleh dilihat di negara-negara luar juga dan paling ketara ialah di India,” katanya.

Nik Zawawi berkata, perkara ini bukan soal kegagalan atau kejayaan negara tetapi, kerajaan PN telah berusaha sehabis baik dengan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) dan suntikan dana bagi meringankan beban kewangan rakyat yang terjejas.

Tiada ulasan: