HARAKAH DAILY
KATA Dr Mahathir Mohamad pilihan raya tidak sesuai
tahun ini. Maka cadangannya tunggu 2023. Bekas perdana menteri terbabit
begitu gusar dengan peningkatan kes Covid-19 sekarang.
Beliau
berharap perlu diberi pertimbangan serius dengan mengambil kira situasi
pandemik Covid. Beliau bimbang penularan akan menjadi lebih dahsyat
sekiranya pilihan raya diadakan.
Apa yang berlaku di Sabah pada
September lepas menjadi pendoman. Akhirnya pembangkang mengakui juga
tidak sesuai pilihan raya dalam suasana sekarang.
Maknanya bukan
kerana Muhyiddin Yassin takut kehilangan kuasa. Bukan juga kerana
kerajaan Perikatan Nasional (PN) bakal tumbang. Realiti sebenarnya
kerana Covid-19.
Sedangkan kerajaan PN sudah menjelaskan berkali-kali alasan dilaksanakan proklamasi darurat bukan kerana politik. Pandemik Covid yang menular sekarang amat membimbangkan.
Ramai tidak mahu berulang apa yang berlaku di India sekarang. Kesemuanya minta dijauhi bala seperti itu. Penularan di India juga kerana faktor perhimpunan ramai.
Sebelum varian ganas menular jutaan penduduk negara itu menghadiri perhimpunan politik. Ia dikatakan dianjur Perdana Menteri Narendra Modi.
Pemimpin parti Bharatiya Janata yang mentadbir kerajaan ternyata tidak mengendahkan amaran awal pakar kesihatan.
Pakar-pakar kesihatan awam menemui antara faktor menyebabkan lonjakan kes di India kerana perhimpunan besar politik atau agama.
Mereka yang hadir tanpa mengamalkan penjarakan fizikal atau memakai pelitup muka. Maka wajar kerajaan Modi dipersalahkan kerana membenarkan festival keagamaan Kumbh Mela berlangsung berminggu-minggu sejak Mac lepas.
Pentadbiran pemimpin terbabit juga berdepan dengan bantahan besar petani. Mereka melancar protes sejak beberapa bulan lalu. Bantahan selepas kerajaan memperkenalkan undang-undang pertanian baharu.
Ternyata percaturan yang silap itu akan membawa padah kepada Modi. Parti Bharatiya Janata semakin tidak disenangi rakyat.
Malaysia bernasib baik
Malaysia bernasib baik kerana lebih awal menyedari kesan perhimpunan ramai. Pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lepas amat cukup berharga.
Inilah pendirian tegas Muhyiddin. Kerajaan PN sudah nampak impak pilihan raya dan persidangan parlimen sekiranya diadakan di musim pandemik sekarang.
Begitu juga apa yang dilakukan di Kelantan membatalkan bazar Ramadan. Langkah itu biarpun tidak popular, namun kerajaan negeri melihat kesan jangka panjang.
Ketika bazar Ramadan tidak diadakan, kes harian Covid di Kelantan begitu membimbangkan. Tentunya sekiranya pesta bazar Ramadan dibiarkan, kes harian Covid berkali ganda lagi.
Biarpun begitu kerajaan Kelantan tetap prihatin terhadap peniaga yang sudah mendaftar dan membayar deposit kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Wang deposit yang dibayar peniaga dipulangkan semula.
Malah kerajaan Kelantan memperuntukkan pula RM1.5 juta sebagai bayaran saguhati kepada 2,500 peniaga yang berdaftar dengan PBT.
Kata anggota Exco kerajaan negeri Dr Izani Husin, saguhati itu bagi membantu peniaga yang terkesan akibat penutupan bazar Ramadan.
Ia mengambil kira kesusahan peniaga yang mengeluarkan modal perniagaan. Bagaimanapun sikap bermurah hati itu tetap diperlekehkan pembangkang. Ada laman berita menyiarkan keluhan peniaga.
Biarpun Bazar Ramadan tiada di Kelantan, namun rakyat masih berpeluang berniaga di hadapan rumah. Ramai mengambil kesempatan berniaga di tepi jalan.
Tanpa Bazar Ramadan pun rakyat masih berpeluang mencari rezeki. Ternyata langkah kerajaan PN tidak sia-sia. Akhirnya ia diakui pembangkang selepas wabak Covid kini berada di halaman rumah. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan