HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Mei 2021

Peroleh bekalan vaksin sendiri: Bagaimana pula dengan P Pinang, soal Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata kerajaan Pulau Pinang 
membuat permohonan untuk perolehan bekalan vaksin Covid-19 pada
Februari lalu.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim mempersoalkan tindakan Putrajaya yang masih tidak meluluskan permohonan Pulau Pinang untuk mendapatkan bekalan sendiri vaksin Covid-19, sedangkan ia sudah dibuat tiga bulan lalu.

Ia susulan pengumuman Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak Dr Annuar Rapaee, yang memberitahu akan menerima 500,000 dos vaksin Sinovac yang dibeli kerajaan negeri dalam tempoh seminggu, dan lagi 500,000 dos selepas itu.

Sim berkata, kerajaan Pulau Pinang tidak mendapat sebarang maklum balas mengenai permohonan yang dibuat pada 15 Feb lalu bagi mendapatkan dua juta dos vaksin Sinovac untuk rakyat negeri itu.

“Adakah ia disebabkan perbezaan politik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Pulau Pinang?” soalnya dalam kenyataan.

Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Vaksinasi Covid-19 Khairy Jamaluddin, berkata kerajaan tidak akan menghalang kerajaan negeri untuk mendapatkan bekalan sendiri vaksin.

Beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim, mengkritik tindakan kerajaan pusat yang bergantung kepada kerajaan negeri bagi membeli bekalan vaksin untuk rakyat.

Sim berkata, isu bekalan vaksin kekal menjadi masalah terbesar dalam program imunisasi kebangsaan, dan menambah ramai daripada kumpulan berisiko tinggi yang masih belum menerima janji temu vaksinasi walaupun kini berada pada fasa dua program berkenaan.

“Ini bukan masa untuk berpolitik. Kerajaan perlu bekerjasama dengan semua pihak, termasuk kerajaan negeri tanpa mengira perbezaan politik bagi menjayakan perang melawan Covid-19,” tambah beliau.

Tiada ulasan: