HALAMAN SANTAI

Isnin, 17 Mei 2021

Tiada siapa tuduh UMNO Sri Gading taja perusuh, kenapa terasa?

AGENDA DAILY

UMNO Bahagian Sri Gading menafikan menaja tindakan sekumpulan anak muda membakar suar dan menggantung sepanduk di pekan Parit Raja, Batu Pahat, malam raya lalu.

 

Tidak ada mana-mana pihak yang menuduh UMNO Bahagian Sri Gading menaja tindakan sekumpulan anak muda membakar suar dan menggantung sepanduk di pekan Parit Raja, Batu Pahat, malam raya lalu.

Sebaliknya, UMNO bahagian itu sendiri yang menafikan sekeras-kerasnya mereka ‘menaja’ tindakan ‘hooligan’ malam tersebut. Penafian itu dibuat berdasarkan laporan portal dan Facebook Agenda Daily pada 14 Mei lalu.

“Lantaran itu UMNO Sri Gading sedang berbincang dengan pihak peguam untuk mengambil tindakan terhadap portal berita tersebut,” kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Mohd Lassim Burhan.

Agenda Daily pada Jumaat lalu melaporkan beberapa individu yang ditahan polis kerana terbabit dalam rusuhan itu mengaku menerima sejumlah wang daripada lelaki tidak dikenali untuk membeli sepanduk dan suar bagi menganjurkan aktiviti itu dan kemudiannya ditularkan dalam laman media sosial.

Siasatan polis mengenal pasti dalang utama berusia 23 tahun, bernama Muhammad Hafizulhilmi Bin Zailan sebagai penganjur rusuhan yang membekalkan sepanduk dan seorang lagi rakannya, Muhammad Al Azim Bin Abd Rasid, 18, pula menerima wang untuk membeli 30 batang suar di Johor Bahru.

Dalam laporan itu, Agenda Daily juga memetik kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi yang mengucapkan tahniah kepada penduduk Parit Raja susulan tindakan kumpulan pemuda terbabit mengadakan perhimpunan dan membidas tangkapan yang dibuat oleh pihak polis.

“Tahniah orang Pt Raja,” katanya dalam kiriman Facebook rasmi beliau pada jam 8.41 pagi 14 Mei lalu ketika mengulas kejadian itu.

Untuk makluman, ungkapan ‘tahniah’ adalah pengucapan harian sebagai sebahagian daripada tatacara sosial yang juga digunakan bagi menunjukkan ‘sokongan’ dan ‘menggalakkan’ mana-mana individu melakukan sesuatu.

Mohd Lassim dalam kenyataannya semalam berkata sebahagian opportunis politik pula mengambil kesempatan menuding UMNO sebagai dalang di sebalik kejadian itu.

Dia turut mengingatkan parti MUDA dan pengasasnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya tidak mengambil kesempatan dengan membuat tawapan simpati politik.

“Sepatutnya Syed Saddiq perlu memohon maaf dan bertanggungjawab kerana membangkitkan kekeliruan dan menghasut anak muda untuk menumbangkan UMNO Barisan Nasional di Sri Gading sepertimana yang telah beliau lakukan bersama sekutunya Pakatan Harapan pada PRU 14 sudah,” katanya.

Tiada ulasan: