G Manimaran
Kerajaan
baharu di bawah teraju Pakatan Harapan menggantikan Barisan Nasional
dengan Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada
Mei 2018 akan menjadi catatan sejarah dalam landskap politik Malaysia. -
Gambar fail Astro AWANI
TANGGAL 9 Mei 2018 tidak dapat dilupakan oleh rakyat Malaysia. Ia masih segar dalam ingatan sebahagian besar pengundi.
Selepas
Pilihan Raya Umum 1969 dan 2008, Pilihan Raya Umum ke-14 tiga tahun
lalu telah meninggalkan kesan dan impak yang besar dalam landskap
politik di negara.
Semalam genap tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Tiga tahun berlalu dengan pantas.
Kerajaan
baharu di bawah teraju Pakatan Harapan (PH) menggantikan Barisan
Nasional (BN) terbentuk pada 10 Mei 2018 dengan Tun Dr Mahathir Mohamad
kembali menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.
Itu dua detik sejarah pertama disaksikan pada 9 dan 10 Mei 2018.
Sejak
itu banyak perkara yang tidak diduga dan tidak dijangka sama sekali
telah disaksikan. Sehingga ke hari ini banyak perkara yang tidak pernah
berlaku sebelum 9 Mei 2018 terus berlaku.
Antaranya,
perubahan landskap politik. Beberapa penjajaran kuasa teraju telah
disaksikan di kedua-dua peringkat Persekutuan dan negeri. Ini kali
pertama dalam sejarah, perubahan besar berlaku dalam kedudukan parti
utama yang memerintah di kedua-dua peringkat pusat dan negeri.
Malah buat julung kali penjajaran seumpama berlaku dalam tempoh yang singkat, iaitu hanya 22 bulan selepas PRU14.
Sebelum
ini, Kerajaan Negeri di Sabah (tahun 1994) dan Perak (2009) pernah
berhadapan dengan situasi perubahan kerajaan yang memerintah. Ini kali
pertama situasi yang sama disaksikan di peringkat kerajaan Persekutuan
dan lebih daripada satu kerajaan negeri berubah tangan pada masa yang
sama.
Ekoran perubahan landskap politik
negara, Perikatan Nasional (PN), gabungan terbaharu pimpinan Tan Sri
Muhyiddin Yassin – terdiri daripada Bersatu, UMNO, MIC, MCA, Pas,
Gabungan Parti Sarawak (GPS), STAR Sabah dan PBS serta disokong wakil
rakyat Bebas, mengambil alih kuasa peringkat Pusat daripada PH, sekali
gus membentuk kerajaan negeri Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Johor,
Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sarawak manakala PH kekal di Pulau
Pinang dan Selangor.
Dengan perubahan
yang disaksikan itu, berikut adalah kedudukan kerusi di Dewan Rakyat dan
DUN di seluruh negara sehingga bulan September 2020.
BN
yang bertapak kukuh selepas ditubuhkan pada tahun 1973, hasil usaha
menjenamakan semula Parti Perikatan (Perikatan) yang menang pilihan raya
umum pertama, kedua dan ketiga masing-masing pada tahun 1959, 1964 dan
1969, kehilangan kuasa pada 9 Mei. Sebahagian besar komponen telah
meninggalkan BN.
Pilihan raya di Malaysia juga kelihatan bergerak ke arah pertandingan dan pentadbiran sistem dua parti.
Ciri
ini sudah mula kelihatan sejak tiga PRU yang lalu, terutama sejak tahun
2008. Persaingan dilihat di antara BN dengan Pakatan Rakyat (PR) yang
kemudian dikenali sebagai PH dan kini muncul kerjasama baharu atas nama
PN.
PN telah didaftarkan sebagai satu
gabungan politik pada Ogos lalu. PN juga pertama kali telah bertanding
dalam PRN Sabah yang berlangsung pada 26 September 2020.
Pilihan
raya negeri itu dipanggil secara mengejut iaitu dalam tempoh 27 bulan
selepas PRU14 ekoran ketidakstabilan politik di negeri itu.
Menjelang
hari penamaan calon, PN bersama BN dan PBS membentuk satu lagi gabungan
yang dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini memerintah
Sabah menggantikan Warisan Plus.
Di
Sarawak juga perubahan mengambil tempat apabila kebanyakan anggota
komponen BN negeri itu keluar parti untuk menubuhkan GPS. Dalam lain
perkataan kelihatan wujud gabungan khas di Semenanjung, Sabah dan
Sarawak – tiga wilayah dalam Malaysia pada hari ini.
Berdasarkan
maklumat diperoleh dari laman web Parlimen dan perkembangan politik
semasa setakat 30 November 2020, PN mempunyai 113 kerusi di Dewan Rakyat
manakala baki dalam genggam PH dan wakil rakyat Bebas.
Dua
kerusi iaitu Gerik dan Batu Sapi masih kosong memandangkan pilihan raya
kecil tidak dapat diadakan berikutan deklarasi Proklamasi Darurat
ekoran impak pandemik COVID-19.
Di
sebalik ketenangan sementara selepas PN berkuasa, kerajaan negeri Perak
bergolak dengan krisis mengejut menggantikan menteri besar. PN berkuasa
tetapi jawatan menteri besar bertukar tangan daripada Bersatu kepada
UMNO.
Satu keunikan menarik dalam sistem
pilihan raya demokrasi adalah peluang yang sama rata dan seimbang untuk
bertanding dan memilih calon yang disukai manakala calon atau parti yang
menang akan ditanggungjawabkan dengan mandat untuk mentadbir selama
lima tahun akan datang.
Lazimnya, di
Malaysia PRU akan diadakan dalam tempoh empat hingga empat setengah
tahun mandat sedang berjalan. Hanya dua PRU peringkat nasional telah
diadakan ketika di penghujung mandat.
Pemilih
mempunyai hak, peluang dan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat
pilihan mereka. Para pengundi harus mengetahui tanggungjawab mereka.
Calon
dan parti yang bertanding juga mempunyai hak, peluang dan tanggungjawab
mereka iaitu memastikan pencalonan mereka tidak berhadapan dengan
halangan atau ditolak semasa proses penamaan calon. Jika tidak mereka
akan keciciran peluang untuk bertanding.
SPR
mempunyai tanggungjawab mengendalikan pengurusan pilihan raya dengan
cekap, bebas, adil dan bebas serta memastikan penyertaan seramai yang
mungkin dalam pilihan raya.
Akhirnya
pilihan raya diadakan dengan matlamat untuk memilih sebuah kerajaan yang
sah dan sahih untuk mentadbir negara sepanjang mandat yang diberikan.
Pada
keseluruhannya pengurusan pilihan raya di Malaysia telah berjalan
dengan baik dan lancar sejak PRU yang pertama pada tahun 1959.
Pun
begitu, berdasarkan kepada kehendak dan keperluan semasa, sistem dan
undang-undang pilihan raya boleh ditambah baik dan memerlukan
penambahbaikan.
Perkembangan sepanjang dua tahun yang lalu telah meletakkan keperluan yang mendesak ke arah itu.
Misalnya,
kuasa bagi SPR menunda atau menangguhkan pilihan raya ketika krisis
kesihatan seperti COVID-19 dan bencana alam. Ia memerlukan pindaan ke
atas Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri dan kesemua
undang-undang berkaitan dengan pilihan raya.
Dalam
hal ini, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan
Raya (ERC) yang dibentuk pada Ogos 2018 telah mengemukakan 49 syor bagi
membolehkan pilihan raya diuruskan dengan lebih efektif dan adil kepada
setiap pemegang taruh dalam pilihan raya demokrasi.
Di bawah undang-undang negara, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan sekiranya mandat semasa hanya tinggal dua tahun.
Semalam
genap tiga tahun PRU-14 selesai berlangsung manakala mesyuarat pertama
penggal pertama Parlimen ke-14 hanya berlangsung pada 16 Julai 2018.
Bermakna
ada lagi dua bulan sebelum tempoh mandat berbaki dua tahun itu
berakhir. Sejak akhir tahun lalu empat pilihan raya kecil telah
dibatalkan dan ditunda ekoran Proklamasi Darurat.
Ini
kali pertama beberapa pilihan raya kecil dibatalkan dan ditunda atas
nama darurat dan ekoran keadaan-keadaan yang tidak dapat dielakkan, yang
diakibatkan oleh impak pandemik COVID-19.
Tempoh
selepas PRU14 juga menyaksikan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi
membolehkan peruntukan kelayakan mengundi dan menjadi calon baharu
diperkenalkan, iaitu 18 tahun.
Beberapa negeri turut telah mengambil langkah yang sama bagi meminda Perlembagaan masing-masing.
Sebanyak
enam negeri telah berbuat demikian sehingga akhir tahun lalu. SPR dalam
kenyataan media dua bulan yang lalu mengatakan bahawa pihaknya
memerlukan masa untuk melaksanakan pendaftaran pengundi secara
automatik, yang awalnya dijangka untuk dilaksanakan tahun ini, ditunda
sehingga September 2022.
Bagaimanapun, mereka yang berumur 18 tahun boleh menjadi calon dalam saingan peringkat Dewan Rakyat dan di beberapa negeri.
Pilihan
raya kecil Tanjung Piai pada akhir 2019 telah menyediakan peluang itu.
Pengumuman SPR itu telah mengundang polemik terbaharu dalam landskap
pilihan raya.
Ketika kerajaan pimpinan PN melengkapkan tahun pertama pentadbiran, UMNO dilihat memberi kata dua kepada kerjasama politik.
Parti
itu telah memutuskan kerjasama politik bersama PN hanya bersifat
sementara iaitu sehingga Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada
PRU-15. Bulan Ogos ini akan menjadi penentu sama ada kerjasama politik
itu akan diteruskan atau sebaliknya.
Sehingga Ogos ini, Muhyiddin telah mengumumkan bahawa tidak akan ada apa pilihan raya ekoran Proklamasi Darurat.
Meskipun
sudah tiga tahun ketika memasuki pasca-PRU14, penjajaran baharu politik
terus menjadi bahan perbualan dan perbincangan. Kestabilan muktamad
belum kelihatan.
Perkembangan sepanjang
tiga tahun lalu telah membawa kepada keperluan untuk mengkaji
undang-undang dan sistem pilihan raya negara, termasuk peruntukan dalam
Perlembagaan.
Keperluan ini dilihat penting bagi menyuburkan lagi semangat demokrasi, terutama dalam landskap pilihan raya demokrasi.
*
G Manimaran merupakan pengamal media dan penulis bersama buku Pilihan
Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang dan Tadbir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan