HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Mei 2021

UMNO jangan jadi macam Kuomintang, perlu pertahan pemimpin didakwa, kata Zahid

AGENDA DAILY

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sekiranya akar umbi tidak mempertahankan pemimpin atasan yang didakwa di mahkamah dan menentang anasir luar yang cuba merosakkan parti, tidak mustahil nasib UMNO akan sama seperti Parti Kuomintang, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu membuat perbandingan dengan parti diasaskan di Taiwan tersebut supaya akar umbi tidak masuk perangkap musuh yang cuba merosakkan parti dan UMNO sepatutnya tidak mengikut rentak politik musuh.

“Kita bersyukur kerana akar umbi tidak pernah goyah biarpun ledakan berlaku ataupun letusan kecil, yang penting kita jangan pernah terperangkap dalam jerangkap samar yang dipasang oleh pihak seteru politik.

“Masalah kita, apabila prinsip pecah dan perintah ini di mana, kita harus menggelakkan menari mengikut lagu dan irama yang ditentukan oleh pihak luar kita hendaklah bersama melihat apakah irama yang sesuai dengan diri kita,” katanya semasa wawancara Program 75 Tahun Jubli Intan anjuran UMNO Online malam tadi.

Zahid sendiri yang berdepan berdozen pendakwaan di mahkamah membuat perbandingan dengan parti Koumintang yang tewas dan selepas itu pemimpin partinya didakwa di mahkamah, harta dirampas dan parti cuba dipecahkan oleh musuh politiknya.

“Kita lihat contoh parti Koumintang yang pernah juga terkecundang, selama satu penggal pemimpin-pemimpinya dituduh di mahkamah, harta parti dirampas, parti cuba dipecahkan.

“Bukan sahaja pemimpin peringkat nasional dan parlimen, jadi saya tidak mahu membandingkan seolah-olah kita mempunyai hubung kait dengan parti Kuomintang di Taiwan itu, tidak,” katanya.

Parti Kuomintang ditolak rakyat semasa Perang Saudara China sekitar 1945–1949 selepas terpalit dengan rasuah dan parti itu ditendang keluar dari tanah besar apabila kalah kepada Parti Komunis China yang menyebabkan ramai pemimpinnya didakwa.

Parti Kuomintang kemudiaannya terpaksa berundur ke Taiwan.

Dalam wawancara itu juga, Zahid berkata pemilihan parti bukan keutamaan buat masa ini dan ia tidak bermakna diadakan sekiranya UMNO sekadar menjadi sebahagian daripada kerajaan dan tidak menjadi parti dominan.

“Jangan pernah belajar daripada sebuah politik yang mempunyai prinsip yang hampir sama dengan kita di sebuah negara yang agak besar yang akhirnya pilihan raya presiden diadakan lebih daripada lima kali parti itu hanya sekadar menjadi sebahagian daripada kerajaan atau melukut di tepi gantang.

“Kalau kita mahu dominan kita harus lihat bukan soal penjajaran sahaja ledakan sahaja tetapi kita harus lakukan perubahan dari segi struktur keseluruhannya,” katanya lagi.

Krisis dalaman UMNO ketika ini dikatakan melibatkan pertembungan antara Kluster Mahkamah dan Kluster Menteri yang tidak senada dengan Zahid yang sedang berdepan pendakwaan rasuah di mahkamah ketika ini.

Tiada ulasan: