Astro Awani
Ismail menyatakan sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua kerajaan - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Maran daripada UMNO, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib hari
ini menyatakan sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai
ketua kerajaan.
Ismail yang juga
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam satu kenyataan
berkata, pendirian tersebut ditunjukkan seperti mana sokongan beliau
kepada Perdana Menteri sebelum ini dan kerajaan kerana amanah dan
tanggungjawabnya kepada agama, bangsa dan negara.
Beliau
menyatakan sokongan tersebut selepas menzahirkan penghargaan kepada
Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka
Baginda terhadap nasib rakyat dan isu semasa yang melanda negara ketika
ini.
"Sesungguhnya
patik merafak sembah mohon menyembah taat setia patik yang tidak
berbelah bahagi kepada Tuanku dan Raja Permaisuri Agong dari dulu
sehingga akhir hayat patik.
"Patik juga akan sentiaa menjaga dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu selagi nyawa dikandung badan.
"Patik
turut menzahirkan sokongan penuh patik kepada Perdana Menteri sebagai
ketua kerajaan Malaysia sebagaimana sokongan patik kepada Perdana
Menteri sebelum ini dan juga kerajaan," katanya dalam kenyataan
tersebut, hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin
memaklumkan bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan isu
peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.
Perdana
Menteri berkata, beliau telah menyembah maklum kepada Al-Sultan
Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Rabu,
bahawa sejumlah Surat Akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat, yang
menurut dirinya masih mempunyai sokongan majoriti.
Jelas
Perdana Menteri lagi, Agong telah berkenan untuk beliau menentukan
keabsahannya di Parlimen melalui undi percaya pada September ini.
Ismail menambah cara pemerintahan Al-Sultan Abdullah memberikan keinsafan kepadanya mengenai tanggungjawab yang dipikul.
Segala sifat Yang di-Pertuan Agong mencerminkan bahawa Baginda seorang Raja yang berdaulat dan bermartabat tinggi, katanya.
"Keprihatinan
Tuanku terhadap apa juga isu telah membuatkan rakyat jelata turut
terdidik dengan sifat-sifat mulia dan berhemah tinggi," ujar beliau.
Ismail telah berkhidmat selama empat penggal sebagai Ahli Parlimen Maran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan