HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Ogos 2021

Ahli politik sewenang-wenang guna alasan ‘rakyat’ nak halalkan rebut kuasa

 Siti Hafida

Dalam politik hanya ada menang atau kalah, tak ada situasi menang-menang

BANGI – Pergolakan politik yang tidak berkesudahan melanda negara perlu dinoktahkan kerana tidak memberi sebarang keuntungan kepada rakyat.

Lebih teruk, ahli politik dengan sewenang-wenangnya menggunakan alasan demi kepentingan rakyat bagi menghalalkan tindakan mereka merebut kuasa.

Profesor Madya di Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, rata-rata rakyat sudah tentu tidak mahu satu lagi krisis menghimpit kehidupan mereka, selain krisis kesihatan dan ekonomi.

“Siapakah yang mendapat keuntungan daripada krisis politik ini? Rakyat sudah tentu jauh sekali. UMNO yang dilihat mendominasi dalam krisis politik ini percaya bahawa inilah masa terbaik buat mereka mengambil alih kerajaan.

“Jawatan Perdana Menteri yang menjadi idaman mungkin dapat dimiliki. Namun, dengan kekuatan setiap parti hampir sama, tidak memungkinkan mana-mana parti politik boleh menubuhkan kerajaan tanpa bekerjasama.

“Ini termasuk UMNO mahupun blok pembangkang,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Berikutan itu, Dr Izani menjangkakan percaturan politik menjadi lebih sengit selepas ini.

Beliau yakin penjajaran politik melalui kerjasama dan tawar-menawar politik akan ligat berlaku demi kelangsungan politik.

Lebih-lebih lagi dalam kamus politik, tidak ada kawan dan lawan yang abadi, hanya kepentingan bersama yang kekal, katanya.

“Memandangkan Perdana Menteri mahu menentukan nasibnya di Dewan Rakyat kelak, ia membuka permainan atau persaingan politik terbuka lagi mendebarkan. Dalam politik hanya ada menang atau kalah, tidak ada situasi menang-menang. Politik angka akan menjadi semakin penting selepas ini.

“Pihak pembangkang melalui kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menyatakan pendirian agar Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri dipercepatkan sebelum 9 Ogos.

“Namun, dalam keghairahan merebut kuasa, jangan dilupakan rakyat di bawah yang sentiasa mahu dibela, terutama dalam situasi sukar ini. Mereka sentiasa menanti khabar gembira daripada wakil rakyat mereka,” katanya.

Tiada ulasan: