HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Ogos 2021

Anwar akan jumpa semua parti pembangkang

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pakatan Harapan (PH) akan menjemput semua parti pembangkang untuk menyertai atau bekerjasama dengan mereka, selaras konsep ‘khemah besar’ parti itu ke arah menjadi “pembangkang yang berkesan”.

Jemputan itu akan dikemukakan dalam satu pertemuan dalam masa terdekat antara Ketua pembangkang Anwar Ibrahim dengan pemimpin-pemimpin parti pembangkang, seperti yang telah diputuskan Majlis Presiden PH.

“Ketua pembangkang akan mengadakan satu pertemuan dengan pemimpin utama kesemua parti Pembangkang dalam masa terdekat, termasuk menjemput mereka untuk menyertai atau bekerjasama dengan PH.

“Ini selaras dengan ketetapan pemukiman kepimpinan PH di Port Dickson pada bulan April yang menyatakan keterbukaan PH berunding dan bekerjasama serta menggembleng seluruh tenaga di bawah konsep ‘khemah besar’ demi memantapkan blok pembangkang merangkumi 105 Ahli Parlimen,” kata PH.

Pertemuan itu nanti, kata PH, antara lain akan membincangkan isu politik semasa serta persiapan bagi menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula 6 September.

Ini termasuk kemungkinan diadakan sidang khas lebih awal untuk membahaskan usul undi percaya terhadap perdana menteri serta mengisi kekosongan timbalan speaker Dewan Rakyat susulan peletakan jawatan Azlina Othman Said.

Kata PH, fokus utama mereka adalah ke arah menjadi pembangkang yang berkesan dengan mengutarakan kritikan dan pandangan yang membina, selain membentangkan cadangan bersesuaian kepada dasar kerajaan berkaitan Covid-19, ekonomi, dan kebajikan rakyat.

“Pakatan Harapan akan mengutamakan reformasi institusi termasuk parlimen, reformasi fiskal, reformasi perundangan termasuk Undi18 dan Akta Antilompat Parti, penambahbaikan Pelan Pemulihan Negara, serta menegaskan kebebasan sistem kehakiman yang tidak patut dikacau ganggu oleh mana-mana pihak,” kata kenyataan itu lagi.

PH juga akan mempertimbangkan jemputan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19, asalkan ia ikhlas dan bukan sekadar tangkap muat atau sekadar rubber stamp kepada pandangan kerajaan.

Kenyataan Majlis Presiden PH itu dikeluarkan secara bersama oleh Anwar selaku presiden PKR, Presiden Amanah Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Langkah untuk menyatukan pembangkang itu menyusuli selepas kegagalan Anwar menjadi perdana menteri, apabila pembangkang hanya berjaya mengumpulkan sokongan 105 ahli parlimen.

Parti Sarawak Bersatu telah menolak tawaran untuk menyertai PH, dan mahu kekal bebas, manakala parti dari Sabah, Warisan pula mahu presidennya Shafie Apdal mengetuai blok pembangkang.

Pejuang pula merancang bertanding di sehingga 120 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, yang mungkin mengundang konflik dengan PH.

Tiada ulasan: