MALAYSIAKINI
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mengemukakan senarai calon bagi jawatan kabinet.
Bagaimanapun, semakan Malaysiakini dengan seorang pegawai dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) mendapati perkara itu belum dimasukkan dalam jadual perdana menteri.
"Itu khabar angin. Setakat ini, kita tak ada maklumat mengenainya. Kita percaya (menghadap Agong) sepatutnya minggu ini, tapi kita belum ada maklumat terkini," kata seorang pegawai kepada Malaysiakini yang enggan namanya disiarkan.
Terdahulu portal The Vibes melaporkan Yang di-Pertuan Agong akan menerima menghadap Ismail hari ini.
Ketika dihubungi, seorang sumber Umno berkata dia menjangkakan Ismail menghadapi dilema untuk mengemukakan barisan kabinet baru memandangkan semua parti yang menyokongnya menuntut agar mereka diberi portfolio yang sama.
"Bersatu dan PAS mahu kekalkan semua menteri dan timbalan menteri manakala Umno mahukan lebih banyak daripada yang diberikan oleh (bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin). Jadi, ia seperti status quo," kata sumber itu.
Sumber itu berkata, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi juga menuntut lebih banyak jawatan menteri diberikan kepada kumpulannya.
Bagaimanapun, sumber itu menjangka akan berlaku perubahan bagi portfolio menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Parlimen dan Undang-Undang) yang sebelum ini disandang Takiyuddin Hassan.
Ini berikutan teguran Istana terhadap kenyataan Takiyuddin Hassan mengenai Ordinan Darurat sebelum ini.
Semasa pentadbiran Muhyiddin, Umno diperuntukkan sembilan jawatan menteri dan lapan jawatan timbalan menteri.
Dua bekas menteri - Noraini Ahmad dan Shamsul Anuar Nasarah meletakkan jawatan setelah Zahid dan 14 anggota parlimen menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, The Vibes melaporkan, usaha melobi pada saat-saat terakhir untuk mendapatkan jawatan kabinet masih berlangsung.
"PM akan serah senarai kabinetnya esok dan minta persetujuan Agong sebagai sebahagian daripada formaliti.
"Hanya setelah Agong beri perkenan, Ismail Sabri akan menghubungi calon-calon tersebut untuk memberitahu mereka mengenai jawatan masing-masing dan untuk memeriksa sama ada mereka mahu menerimanya. Sekiranya ada yang menolak, akan ada senarai ganti bagi setiap jawatan,” kata sumber itu.
Sumber itu menjangka upacara mengangkat sumpah bagi menteri akan berlangsung pada Khamis dan Ismail akan mempengerusikan mesyuarat kabinet pertamanya sebagai perdana menteri pada hari Jumaat.
Pada 23 Ogos, Ismail Sabri memaklumkan barisan kabinetnya akan diumumkan minggu ini.
Dia berkata senarai itu akan dikemukakan kepada Agong terlebih dahulu untuk mendapat perkenan baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan