HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Ogos 2021

Hubungan istana-kerajaan masih baik, Zahid bukan wakil Agong, kata Nazri

Ahli Parlimen Datuk Seri Nazri Aziz semasa wawancara dengan Agenda Daily hari ini. Foto Hiekal Rosly.

Pemimpin senior UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan hubungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan Yang di-Pertuan Agong masih kekal baik dan tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kononnya berlaku penderhakaan.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata penjelasan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas menghadap di Istana Negara pagi tadi merungkai banyak perkara khususnya berhubung isu derhaka yang dimainkan Zahid sebagai alasan untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN.

“Tapi dengan pertemuan yang dilakukan pada pagi ini dan jelas iaitu apabila PM memohon kepada Tuanku untuk menyelesaikan masalah keabsahan ini di Dewan Rakyat pada bulan September.

“Itu jelas menunjukkan hubungan baik, hubungannya baik. Kalau tidak sudah tentu PM keluar mungkin dengan perasaan dukacita permohonannya tidak diperkenankan. Tapi hari ini kita tahu bahawa Agong membenarkan untuk disahkan keabsahan ini di Dewan Rakyat,” kata Nazri kepada Agenda Daily semasa wawancara di rumahnya.

Nazri membidas tindakan Zahid yang membuat tuduhan derhaka terhadap kerajaan walhal umum mengetahui UMNO juga adalah sebahagian daripada kerajaan sedia ada ketika ini dengan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas sama sekali.

“Tuduhan derhaka terhadap mana-mana Ahli-ahli Parlimen. Itu adalah tuduhan yang cukup berat, cukup-cukup berat.

“Dan apabila semalam ada Mesyuarat MT (Majlis Tertinggi) sudah putuskan kemudian diumumkan oleh Zahid bercakap tentang isu derhaka ini saya rasa tersinggung. Dan saya rasa tuduhan itu berat dan tidak sepatutnya ditujukan kepada mana-mana Ahli Parlimen apatah lagi ditujukan kepada kerajaan yang saya adalah sebahagian daripada Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan ini,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, Zahid tidak berhak untuk membuat tuduhan derhaka terhadap mana-mana individu kerana beliau bukan wakil kepada Yang di-Pertuan Agong dan memuji kebijaksanaan Tuanku yang tidak mudah menghukum rakyat dengan sewenang-wenangnya.

“Jadi, sebenarnya soal derhaka ke tidak, derhaka ini hanya Istana sahaja (boleh tentukan).

“Yang boleh mengeluarkan kenyataan hanya Yang di-Pertuan Agong, Tuanku seorang individu yang bijaksana dan sebagai raja tidak mudah seorang raja hendak menghukum rakyat.

“Tapi kita tengok Presiden UMNO melakukan perkara itu. Masa bila dia (Zahid) mewakili istana untuk menghukumkan mana-mana individu atau institusi itu derhaka atau tidak,” ujarnya lagi.

Jelasnya, Nazri berkata pendirian Yang di-Pertuan Agong dapat meredakan suhu politik negara susulan kekecohan yang dicetuskan oleh kumpulan dalam UMNO yang memihak kepada Zahid.

“Saya rasa Insya-Allah ia dapat meredakan (suhu politik) selepas pertemuan PM dengan Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya lagi.

Awal hari ini, Muhyiddin selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong memberitahu mendapat perkenan untuk membuktikan keabsahan sebagai PM yang akan dilakukan pada sidang Dewan Rakyat September ini.

Tiada ulasan: