HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Ogos 2021

Zahid hantar surat akuan tambahan tarik sokongan terhadap Muhyiddin

zahid
AHMAD ZAHID HAMIDI

SELEPAS menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong yang memaklumkan mengenai lapan Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, hari ini Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghantar satu lagi surat tambahan.

“Pada hari ini saya telah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan Surat Akuan tambahan sebagai lanjutan warkah terdahulu,” kata Presiden UMNO itu dalam satu kenyataan.

Zahid dalam kenyataan itu menegaskan bahawa kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa kerajaan masih mempunyai sokongan majoriti adalah tidak benar kerana sebelum ini Perikatan Nasional hanya mempunyai 114 Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Sehubungan itu, katanya, UMNO mencabar kerajaan untuk segera memanggil sidang khas Parlimen untuk membuktikan Perdana Menteri masih mempunyai majoriti tanpa menunggu sehingga persidangan Parlimen pada bulan September.

“Saya telah mempersembahkan warkah yang melampirkan lapan Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai 2021, bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri.

“Ini cukup untuk menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti, biarpun sebenarnya jumlah berkenaan melebihi daripada itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ujarnya, setelah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat ketetapan mutakhir pada 3 Ogos bagi menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri, atas asas mahu berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, jumlah Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO telah bertambah lagi. – UtusanTV

Tiada ulasan: