HALAMAN SANTAI

Jumaat, 20 Ogos 2021

Kabinet baru akan dedahkan perjanjian di sebalik sokongan pada PM

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Dengan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sah menjadi perdana menteri baru Malaysia, penganalisis politik James Chin berkata sebarang butiran rundingan yang dibuat untuk dia mendapat sokongan ahli parlimen lain akan terzahir tidak lama lagi.

Katanya ia bakal didedahkan secara tidak langsung melalui pembentukan kabinet baru selepas ini.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada Ismail Sabri - yang merupakan bekas timbalan perdana menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) - akan mengekalkan barisan kabinet yang sama atau melakukan perubahan.

Ia termasuklah dua jawatan menteri yang kosong - Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli - sebelum ini yang masing-masing disandang Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah.

Noraini dan Shamsul Anuar adalah dua daripada sembilan ahli parlimen Umno yang akur kepada arahan pucuk pimpinan supaya menarik diri daripada kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Tujuh ahli parlimen lain pula kekal dengan jawatan masing-masing sebelum Muhyiddin dan kabinet meletak jawatan serentak pada 16 Ogos lalu.

Kini, semua mata tertumpu pada kerusi timbalan perdana menteri. Spekulasi bertiup kononnya ia akan diisi oleh seorang bekas menteri kanan Bersatu

Majoriti sokongan masih tipis

Dalam maklum balas terhadap pelantikan Ismail Sabri, Chin turut menjangkakan berlakunya ahli parlimen yang berpaling tadah dari Bersatu untuk kembali kepada Umno dalam masa beberapa bulan akan datang.

Kesannya, kata Chin, Bersatu yang dikemudi Muhyiddin akan berdepan risiko untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya ketika menentang Umno dalam PRU ke-14 lalu.

Dengan ketua pembangkang Anwar Ibrahim sekali lagi gagal membuktikan sokongan mencukup untuknya mengatasi Ismail Sabri, Chin meramalkan yang ia masih bukan pengakhiran buat hayat politik presiden PKR itu.

Laporan Reuters pula memetik felo kanan Institut Hubungan Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun sebagai berkata, Ismail Sabri bakal berdepan gabungan tidak stabil ekoran majoriti tipis yang diraihnya, serta perpecahan dalaman Umno.

“Masih ramai yang tak sukakan Ismail Sabri (di dalam Umno) kerana mereka anggap dia mengkhianati parti dan memperoleh jawatan tertinggi dengan cara mengkhianati parti,” Oh dilaporkan berkata.

Beberapa minggu kebelakangan menjelang peletakan jawatan Muhyiddin menampakkan perpecahan ketara dalam Umno dengan Ismail Sabri mengetuai sekumpulan ahli parlimen yang lebih besar untuk kekal berada dalam pentadbiran PN sehingga ke akhirnya.

Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan 10 ahli parlimen lain pula merupakan antara yang menggesa agar Muhyiddin meletakkan jawatan.

Istana Negara dalam kenyataannya hari ini berkata Ismail Sabri akan mengangkat sumpah pada jam 2.30pm esok, dan selepas itu proses memilih kabinet baru akan bermula.

Tiada ulasan: