MALAYSIAKINI
Tony Pua
Pengumuman bahawa Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri kesembilan mendapat reaksi berbeza di kalangan dari ahli politik pembangkang.
Paling ketara adalah dari Setiausaha Publisiti Nasional DAP Tony Pua, yang mempersalahkan pembangkang yang menyaksikan Umno kembali berkuasa.
"Ditendang keluar dari kerajaan pada Februari 2020 adalah cukup buruk.
"Tetapi berperanan utama yang membolehkan Umno kembali berkuasa? Satu tamparan,” katanya dalam satu catatan Facebooknya malam ini.
Pua merujuk kepada kejatuhan Pakatan Harapan tahun lalu, dan peranan yang dimainkan oleh pembangkang untuk mengasak pentadbiran Perikatan Nasional sehingga menyebabkan pengunduran diri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan.
Ahli Parlimen Damansara itu sebelum ini lantang membidas idea menjatuhkan Muhyiddin, kerana bimbangan bahawa tindakan berkenaan akan menyebabkan Umno kembali berkuasa setelah dikalahkan oleh PH pada pilihan raya umum 2018.
Sebagai rekod, PH berjaya membentuk kerajaan persekutuan pada Mei 2018 setelah bertahun-tahun memerangi gabungan pemerintahan Barisan Nasional yang diterajui oleh Umno.
Ketika Muhyiddin menawarkan semua parti politik untuk bekerjasama, dalam apa yang dilihat sebagai usaha terakhir untuk menyelamatkan kedudukannya, Pua adalah antara beberapa pemimpin pembangkang yang menyarankan agar pembangkang mempertimbangkannya.
Perdana Menteri ketika itu, antara lain telah menawarkan untuk melaksanakan reformasi politik yang diperjuangkan PH termasuk untuk membatasi tempoh jawatan perdana menteri dan Undi18.
Muhyiddin juga menawarkan untuk memberikan peruntukan parlimen yang sama kepada semua anggota parlimen pembangkang dan melantik ketua pembangkang setaraf sebagai menteri kanan kabinet, sebagai pertukaran untuk sokongan mereka.
Namun, cadangan Pua untuk menerima tawaran yang dihulurkan oleh Muhyiddin tidak disambut baik dan gagal. Seorang lagi pemimpin DAP lain yang berkongsi peandangan yang sama adalah Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, yang juga dikritik hebat.
Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu Chan Foong Hin, dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini menyoal apakah kerajaan baru Ismail sabri akan menawarkan tawaran serupa kepada pembangkang.
“Adakah kerajaan akan masih meneruskan tujuh tawaran Kerjasama Rentas Parti yang dibentang oleh bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, termasuk penggubalan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti, peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti, dan pelaksanaan Undi 18 tanpa perlu menunggu pendaftaran automatik?"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan