HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Ogos 2021

Kekal konsep ‘Khemah Besar’ – Majlis Presiden PH

 Oleh MOHD RASDAN AHMAD

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

PETALING JAYA – Bagi menggembleng kekuatan seluruh blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian terbuka untuk berunding dan bekerjasama di bawah konsep ‘Khemah Besar’ berdasarkan Agenda Reformasi dan kepentingan rakyat.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, usaha menggembleng tenaga tersebut menerusi kaedah ‘Khemah Besar’ dalam kalangan ahli pembangkang mesti diberikan keutamaan berbanding permainan politik kuasa.

“Kaedah ini perlu diberikan keutamaan mengatasi permainan dan percaturan politik kuasa yang diperalat oleh pihak tertentu untuk merebut kuasa dan jawatan yang hanya akan merugikan negara.

“PH juga akan meneruskan tugas di Parlimen sebagai pembangkang yang memberikan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina dan bertanggungjawab, sesuai titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong demi memastikan proses semak imbang ke atas kuasa Eksekutif terus dilaksanakan,” jelas kenyataan tersebut hari ini.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut menjunjung kasih ke atas titah perkenan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang telah dibuat selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua 105 Ahli Parlimen pembangkang yang berdiri bersama mencalonkan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim tempoh hari tanpa kira parti dan perbezaan pandangan politik demi kepentingan rakyat dan negara.

“Majlis Presiden PH juga telah mengadakan mesyuarat hari ini bagi membincangkan isu politik dan keadaan semasa tanah air termasuk isu penularan wabak Covid-19 di samping usaha pemberian vaksin yang perlu dipertingkat.

Tambahnya, PH turut risau akan masalah ekonomi semasa, termasuk isu pengangguran, pendapatan yang berkurangan, sektor-sektor yang amat terkesan dan perancangan Kerajaan untuk menghidupkan semula ekonomi.

Oleh yang demikian, Majlis Presiden mengulangi komitmen bahawa PH sebagai gabungan politik akan diperkukuh, di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi.

“Segala persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 akan dipergiat termasuk perbincangan kerusi, manifesto, barisan kepimpinan dan calon, serta strategi untuk memenangi mandat rakyat,” jelas kenyataan tersebut. – K! ONLINE

Tiada ulasan: