HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Ogos 2021

AMANAH mahu tunggu dan lihat tawaran sertai MPN

 Rohaniza Idris

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) mengambil pendekatan tunggu dan lihat atas tawaran menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pada masa ini belum ada jemputan rasmi berhubung tawaran berkenaan.

"Kami perlu lihat dahulu terma dan syarat sebelum memutuskan menerima atau menolak tawaran," katanya ringkas kepada BH.

Beliau mengulas tawaran Perdana Menteri kepada kepemimpinan pembangkang untuk menyertai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 yang diumum semalam.

Dalam ucapan sulung, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan termasuk mewujudkan kerjasama rentas parti kerana kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong sudah menitahkan supaya semua ketua parti politik melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat ketika sesi menghadap baru-baru ini.

Salahuddin yang juga Naib Presiden Majlis Pakatan Harapan, berkata kepemimpinan prmbangkang sememangnya mahu menabur bakti dan berkhidmat untuk rakyat.

"Pada waktu ini, keutamaan kami adalah kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat. Kami mahu berkhidmat kepada rakyat yang terpaksa berdepan krisis kesihatan dan ekonomi," katanya.

Tiada ulasan: