HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Ogos 2021

Kekal sokong PN dan Muhyiddin, MCA enggan heret negara dalam krisis politik

 


MCA kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

MCA mengambil pendirian untuk kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga pilihan raya umum akan datang.

Dalam kenyataan biro politik parti itu, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira implikasi yang akan berlaku sekiranya kerajaan PN jatuh dan dibimbangi ia akan menimbulkan satu lagi krisis politik dalam negara.

“Hakikat dan realiti sekarang jelas, tiada satu pun atau gabungan parti yang boleh membentuk sebuah kerajaan stabil.

“Maka jika kerajaan PN dijatuhkan sekarang, ia hanya akan mengheret negara ke dalam krisis politik yang tidak berkesudahan dan pastinya ia memudaratkan rakyat serta negara,” katanya.

MCA juga menyifatkan langkah PM untuk membawa usul undi percaya ke Dewan Rakyat adalah langkah yang terbaik.

“MCA berpendapat bahawa keputusan YAB Perdana Menteri untuk mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen September nanti yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, adalah langkah yang tepat, berdasarkan prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan,” kata MCA lagi.

Sementara itu, MCA juga menggesa kerajaan untuk menamatkan bentuk sekatan pergerakan ketika ini.

“MCA juga berpendapat bahawa sudah tiba masanya kerajaan membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat, memandangkan program vaksinasi telah berjaya dilaksanakan dengan pantas kebelakangan ini dan dilihat semakin berjaya mencapai matlamat yang disasarkan.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sekarang agak kurang berkesan untuk mengurangkan jumlah kes jangkitan.

“PKP yang berterusan ini akan terus meningkatkan kesengsaraan rakyat yang berhadapan dengan kesukaran mencari rezeki. Vaksinasi rakyat secara menyeluruh merupakan jalan terbaik bagi negara sekarang ini,” katanya.

Tiada ulasan: