HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Ogos 2021

Zahid sakit hati selepas TPM tidak letak jawatan, mahu ambil tindakan

 

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Susulan tindakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob yang bersama dalam sidang media di Putrajaya semalam, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan tindakan bakal dikenakan terhadap Naib Presiden tersebut.

Presiden UMNO itu mendakwa tindakan Ismail Sabri tersebut melanggar keputusan parti dan sepatutnya meletak jawatan, bukan bersama dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong semalam.

“Ismail Sabri berada dalam mesyuarat dan bersetuju dengan keputusan MT (Majlis Tertinggi) untuk tarik sokongan daripada Perikatan Nasional (PN), malah memberitahu ahli MKT yang beliau akan menuruti (segala) keputusan parti.

“Sebarang tindakan yang bakal dikenakan ke atas beliau akan dibuat berpandukan Perlembagaan parti,” katanya dipetik dalam sebuah portal.

Ismail tampil berdiri di sebelah Muhyiddin semalam ketika Presiden Bersatu itu menegaskan bahawa dia masih mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan menyatakan kesediaan berdepan undi percaya pada persidangan September ini.

Sementara itu, Zahid mendesak Menteri dan Timbalan Menteri UMNO harus meletakkan jawatan seperti diputuskan MT.

“Terserah kepada mereka. Kalau patuh pada parti, sila letak jawatan seperti yang dibuat Shamsul (Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah),” katanya lapor Utusan Malaysia.

Untuk rekod, seorang menteri dari UMNO sahaja baharu meletak jawatan.

Ketika ini, seramai lapan Menteri UMNO dan lima Timbalan Menteri dalam Kabinet Kerajaan PN.

Mereka ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Timbalan Perdana Menteri); Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan); Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi); Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Belia dan Sukan); Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Luar); Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ); Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Menteri Perpaduan Negara) dan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan).

Lima timbalan menteri dari UMNO pula ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri); Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Timbalan Menteri Dalam Negeri); Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia); Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan) dan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad (Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar).

Tiada ulasan: