HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Ogos 2021

Ketua Pemuda UMNO kalah PRU14 syor Tok Mat Menteri Kewangan


Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub memaklumkan senarai Kabinet akan diumum minggu ini, Pemuda UMNO mula melobi dengan mencadangkan Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) dilantik ke jawatan Menteri Kewangan.

Cadangan itu dibuat Ketua Pemuda Datuk Asyraf Wajdi Dusuki – bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang kalah kepada calon PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dengan undian 32,307 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Konon kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri memerlukan seorang Menteri Kewangan di kalangan individu yang sentiasa bergelumang dengan rakyat, dia berkata Mohamad memahami denyut nadi masyarakat.

Mohamad adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau, Negeri Sembilan, dan hanya boleh menjadi menteri atau timbalan menteri sekiranya dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator).

Dalam kenyataannya juga Asyraf Wajdi mendakwa pelantikan Tok Mat Hasan dapat melancarkan tuntutan berkaitan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Untuk rekod, pakej i-Citra itu diperkenalkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin – kerajaan yang tumbang pada 16 Ogos lalu setelah dikhianati 15 Ahli Parlimen UMNO yang sebelum itu telah memberi sokongan.

“Bagi merealisasikan #TuntutanRAKYAT berkaitan Moratorium, i-Citra, tambahan nilai pakej-pakej bantuan rakyat yang ketika ini amat susah, gelisah dan tertekan, memerlukan seorang Menteri Kewangan dipilih dari kalangan yang biasa bergelumang dengan rakyat dan memahami denyut nadi mereka.

“Saya mencadangkan agar dipertimbangkan cadangan untuk YAB Perdana Menteri melantik Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan sebagai Menteri Kewangan dalam Kabinet baharu nanti.

“Setuju dengan pandangan ini?,” tulis Asyraf Wajdi di laman Facebooknya.

Pada 28 Jun 2021 lalu, Muhyiddin ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), memaklumkan kerajaan PN melalui KWSP memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra bagi meringankan beban kewangan ahli yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.

Beliau berkata, menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan tertakluk kepada jumlah simpanan ahli.

“Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian,” katanya.

Tiada ulasan: