HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Ogos 2021

Lantik Azmin sebagai TPM umpama bunuh diri, kata Puad

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob akan mengambil pendekatan 'bunuh diri' sekiranya melantik Azmin Ali sebagai timbalannya, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi.

Menerusi hantaran di media sosial, Puad berkata imej Azmin telah tercemar sejak penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Ikut komen netizen sejak PN jadi kerajaan, imej Azmin adalah negatif baik dari segi moral dan performance (pencapaian). Melantik Azmin jadi TPM umpama bunuh diri," katanya

Puad mengulas laporan Malaysiakini yang memetik sumber mengatakan ada "kemungkinan besar" Azmin akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Dua sumber dalam Umno mendakwa Azmin mengugut untuk menarik sokongan daripada kerajaan Ismail sekiranya dia tidak diberi jawatan itu.

Setiausaha politik Azmin, Muhammad Hilman Idham bagaimanapun menafikan tuduhan berkenaan.

Ismail Sabri, yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kesembilan pada Sabtu lalu akan mengumumkan barisan kabinetnya minggu ini.

Mengulas lanjut, Puad berkata ada baiknya Azmin menafikan bahawa dia akan menarik sokongannya terhadap kerajaan baru sekiranya tidak dilantik ke jawatan timbalan perdana menteri.

"Lagi pun nak ugut dan tarik sokongan bagaimana? Usul undi percaya di Parlimen pada 6 September 2021 akan datang sudah tidak relevan. Sudah tidak perlu.

"Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri secara demokratik dan ikut perlembagaan. Maka Ismail Sabri tidak perlu takut dengan ugutan," katanya.

Kata Puad, sesiapa yang mahu menarik balik sokongan terhadap Ismail Sabri kerana isu jawatan, mereka akan dilihat sebagai “budak jahat”.

"Eloklah kosongkan jawatan TPM. Checkmate kepada tukang lobi dan yang berebut jawatan tersebut," katanya.

Azmin yang merupakan ahli parlimen Gombak adalah salah seorang daripada tiga pemimpin Bersatu yang disebut-sebut akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Dua pemimpin yang lain adalah Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dan ahli majlis tertinggi parti itu, Redzuan Mohd Yusof.

Selain itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga melobi untuk mendapatkan jawatan timbalan perdana menteri kedua.

Tiada ulasan: