HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Ogos 2021

Muhyiddin bukan jenis berdendam, pentingkan negara daripada jawatan


Tan Sri Muhyiddin Yassin menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara. Foto kredit Muhyiddin Yassin Facebook page.

Sifat peribadi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak berdendam dan meletakkan kepentingan negara melebihi segalanya menjadi faktor kemelut politik negara dapat diselesaikan dengan segera.

Mantan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkongsi pengalamannya mengenali Muhyiddin sebagai seorang yang tegas dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan, ia terbukti dengan peletakan jawatannya tanpa dolak-dalik sejurus kehilangan majoriti.

“Itulah Tan Sri Muhyiddin yang saya kenali sejak dulu. Seorang yang sentiasa konsisten mempertahankan keluhuran perlembagaan!

“Tiada satu pun tindak tanduk beliau yang melanggar perlembagaan. Peguam Negara sentiasa menjadi rujukan beliau,” kata Radzi dalam catatan status akaun Facebooknya hari ini.

Terdahulu, bekas Ketua Setiausaha Sulit mantan Perdana Menteri (PM), Datuk Dr Marzuki Mohamad berkongsi kisahnya apabila Muhyiddin memberitahunya tidak boleh kekal sebagai PM kerana hilang majoriti.

Walaupun menerima banyak panggilan telefon dan mesej memintanya untuk tidak berundur, Muhyiddin bertegas untuk meletak jawatan juga kerana sudah tiada majoriti di Dewan Rkayat.

Menurut Radzi, ketegasan dan prinsip yang dipegang Muhyiddin akan dikenang selamanya dalam sejarah negara dan menjadi rujukan generasi akan datang.

“Tindakan Tan Sri Muhyiddin akan terpahat rapi dalam sejarah negara dan menjadi rujukan generasi akan datang.

“Sekiranya berlaku lagi keadaan yang hampir sama, tentulah generasi pada waktu itu akan merujuk kepada tindakan terhormat Tan Sri Muhyiddin ini,” ujarnya.

Namun, lebih penting adalah keperibadian Muhyiddin yang perlu dicontohi oleh pemimpin politik lain sama ada kawan atau lawan, tidak ada langsung sifat berdendam malah kepentingan negara mengatasi segala-galanya.

“Inilah Muhyiddin Yassin yang aku kenali. Jika ada dendam kesumat, maka tentunya Tan Sri Muhyiddin tidak akan bersusah payah menaikkan calon Perdana Menteri daripada parti yang mana tindakan beberapa Ahli Parlimen mereka menarik sokongan sehingga membawa kepada kejatuhan beliau.

“Namun, Muhyiddin ini manusia yang bersih jiwanya. Beliau pernah menyebut, ‘Segala kuasa hanya sementara. Ini duniawi dan tidak abadi. Kepada Allah jua kita kembali’.

“Muhyiddin seorang yang berjiwa besar dan sentiasa meletakkan kepentingan negara melebihi segalanya. Sir, jasa, budi serta peribadi mu akan dipahat dan diabadi dalam sejarah Malaysia,” katanya lagi.

Muhyiddin boleh membalas tindakan UMNO yang dibuat terhadap dirinya dengan tidak menyokong calon PM yang dikemukakan mereka, sebaliknya beliau tidak mengambil tindakan sedemikian demi mengelak kekalutan politik berlarutan, kata Radzi.

“Tan Sri menjelaskan bahawa sekiranya beliau tidak menyokong seorang calon Perdana Menteri, maka tidak ada yang akan mendapat majoriti. Jika ini berlaku, negara akan berada dalam kekalutan politik selama berminggu-minggu, dan boleh berlarutan sehingga berbulan-bulan.

“Bermula daripada situ, usaha untuk memastikan Dato’ Sri Ismail Sabri mendapat sokongan padu Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional dibuat. Tan Sri Muhyiddin juga telah berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama,” katanya lagi.

Pada 16 Ogos, Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai PM dan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta.

Tiada ulasan: