Astro Awani
Kata
Hanipa, proses mengabsahkan pelantikan itu boleh dibuat di Dewan Rakyat
dengan kadar segera melalui usul undi percaya daripada pihak kerajaan. -
Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR:
Usul undi percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat masih perlu
dilakukan walaupun Datuk Seri Ismail Sabri telah mengangkat sumpah
jawatan pada Sabtu, kata Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin.
Menurutnya,
sebarang kenyataan yang mengatakan usul itu tidak perlu adalah tidak
wajar, mengelirukan dan tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong,
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Jelasnya,
usul undi percaya di Dewan Rakyat seperti titah Yang di-Pertuan Agong
adalah wajib dibawa kerajaan dan ia perlu menjadi agenda yang perlu
disegerakan.
"Di
atas kapasiti Ahli Parlimen Sepang, saya tidak ada sedikit masalah pun
untuk mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabari di atas pelantikan beliau
sebagai Perdana Menteri kesembilan.
"Meskipun
saya agak kritikal sebelum pelantikan itu atas dasar meragui sokongan
yang beliau perolehi khususnya dari Bersatu itu adalah sah kerana
kenyataan media Presiden Bersatu yang jelas hanya memberikan sokongan
bersyarat dan tidak muktamad dan ia melanggar arahan jelas Yang
di-Pertuan Agong, namun saya masih boleh menerimanya buat masa ini.
"Kini,
timbul pula persoalan baru iaitu 'adakah wajar upacara pengangkatan
sumpah beliau di istana pada hari ini (Sabtu) sebagai Perdana Menteri
dilakukan?'" soalnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya
lagi, persoalan tersebut datang daripada pihak yang membangkitkan titah
rasmi Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, yang menyatakan Perdana
Menteri dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi
percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan
majoriti Ahli Parlimen.
"Saya
tidak kata hujah tersebut langsung tidak bermerit sama sekali kerana
titah Yang di-Pertuan Agong yang menggunakan istilah 'keabsahan' itu
mungkin boleh ditafsirkan bahawa sebarang majlis pelantikan secara rasmi
- angkat sumpah - mungkin tidak patut dibuat sehingga Parlimen
mengabsahkan pelantikan PM tersebut," katanya.
Justeru,
beliau berpendapat proses mengabsahkan pelantikan itu perlu dibuat di
Dewan Rakyat dengan kadar segera melalui Usul Undi Percaya daripada
pihak kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan