HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 November 2008

REVOLUSIKAN UMNO

Ruhanie Ahmad


Pada 29 September 1985, UMNO meminda beberapa fasal dalam perlembagaannya. Tujuan utamanya adalah untuk membanteras amalan negatif yang boleh menghancurkan parti. Ini termasuklah amalan politik wang, penyalahgunaan kuasa dan fitnah-memfitnah. Sepatah kata Allahyarham Tun Ghaffar Baba pada ketika itu, beliau tidak mahu politik wang menguasai UMNO.

Pada 1994, sebagai seorang ahli yang sentiasa menghadiri Perhimpunan Agung UMNO dari 1983, saya pun menyusun sebuah buku kecil berjodol Revolusi UMNO. Ini kerana saya dapati pindaan perlembagaan pada 1985 itu langsung tidak dihiraukan oleh segolongan ahli UMNO yang ghairah untuk memenangi sesuatu jawatan parti di semua peringkat.

Saya tegaskan dalam buku berkenaan bahawa reformasi pengurusan UMNO yang dicerminkan menerusi pindaan perlembagaannya pada 1985 terbukti gagal. Antara sebabnya ialah reformasi pengurusan itu tidak digandingi dengan reformasi dan revolusi minda para ahli-ahlinya.

Maka saya pun kemukakan beberapa cadangan untuk merevolusikan minda warga UMNO di semua peringkat. Antara yang strategik adalah seperti berikut:

Kolej Politik

Satu: UMNO hendaklah mewujudkan sebuah kolej politik supaya secara peringkat demi peringkat, seluruh pemimpin UMNO daripada cawangan hinggalah ke Majlis Tertingi diberikan kursus kepimpinan diri. Antara kurikulumnya adalah berkaitan dengan usaha mentakrif asas serta perjuangan parti, memupuk disiplin dan kepimpinan diri, mengenali sejarah perjuangan bangsa, penyemarakan semangat patriotisme, pengukuhan aqidah dan pembinaan intelek.

Saya membuat cadangan sedemikian kerana selama-lamanya UMNO tidak pernah mempunyai satu kurikulum kursus politik yang terancang, menyeluruh dan berkesan. Kalau ada pun kursus sedemikian, ianya dilaksanakan secara adhok dan ala-kadar sahaja. Impaknya, wang berjuta-juta ringgit hangus, tetapi mentaliti, kesedaran dan komitmen perjuangan segolongan besar warga UMNO masih di tahap mediocre.

Dua: Saya cadangkan supaya UMNO mempunyai satu badan talent scouting atau badan yang mencungkil bakat-bakat terbaik dalam semua cabang kehidupan di kalangan warga UMNO. Bakat-bakat yang dikenalpasti wajar dipupuk dan dimantapkan menerusi kursus-kursus keagamaan, kepimpinan, kenegaraan dan partiotisme.

Saya mencadangan perkara ini supaya bakat-bakat berkenaan boleh diketengahkan sebagai calon-calon pemimpin UMNO di abad ke-21. Mereka boleh dibimbing dan diketengahkan sebagai ketua di mana-mana peringkat, mereka boleh diketengahkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara. Pada waktu yang sama, bakat-bakat ini juga boleh diketengahkan dalam kepimpinan sektor korporat dan sektor awam.

Talent Scouting

Menerusi pemupukan bakat ini, secara tidak langsung, bukan semua pemimpin UMNO di peringkat bahagian boleh secara automatik dipertimbangkan jadi ADUN, MP atau Senator. Sebaliknya, pucuk pimpinan parti boleh mengketengahkan sesiapa sahaja ahli UMNO yang sudah dipupuk bakat kepimpinan dan komitmen perjuangannya untuk dijadikan ADUN, MP atau Senator.

Dengan cara talent scouting ini, kuranglah pihak yang ghairah dan berebut-rebut untuk menjadi pemimpin bahagian sehingga tergamak mengamalkan rasuah politik. Dengan cara ini, UMNO akan mampu menampilkan individu dengan ilmu, pengetahuan dan pengalaman dalam sesuatu bidang khusus ke jawatan Menteri dan Exco Kerajaan Negeri. Dengan cara ini juga, akan berkuranganlah amalan politik wang di semua peringkat pemilihan.

Tiga: UMNO wajar menyediakan satu blueprint khusus untuk mengisi program perjuangannya di semua peringkat, daripada cawangan hinggalah ke Majlis Tertinggi. Blueprint ini merangkumi semua aspek kehidupan selaras dengan adanya berpuluh-puluh biro UMNO di semua peringkat.

Dengan cara ini, pengisian perjuangan UMNO dapat dilaksanakan secara terancang, menyeluruh dan berkesan. Dengan pengisian perjuangan seperti ini, UMNO benar-benar memasyarakatkan kewujudannya secara terus-menerus dan konsisten. Dengan cara ini, UMNO membantu pelbagai kementerian dalam kerajaan BN memasyarakatkan perjuangannya demi agama, bangsa dan tanahair.

Badan Penyelidikan

Demikianlah antara gagasan saya menerusi buku kecil berkenaan. Saya insaf bahawa gagasan berkenaan mungkin terlalu radikal dan regimented. Bagaimanapun, itulah cetusan minda saya bila saya dapati bahawa amalan rasuah politik kian menjadi-jadi di awal tahun 90-an.

Saya juga membuat gagasan di atas kerana UMNO adalah teras kerajaan dan pemangkin kejayaan Wawasan 2020. Sebab itulah UMNO memerlukan ketahanan parti yang kukuh dan murni. Lantaran itulah ketahanan parti pula perlu dipelihara serta dimurnikan sepanjang masa, lebih-lebih lagi apabila UMNO ketika itu menjadi wadah serta wahana perjuangan kepada lebih dua juta umat Bumiputera.

Sebab itulah reformasi pengurusan UMNO wajar digandingi dengan perubahan, reformasi, revolusi dan renaissance mental ke arah kecemerlangan. Jika tidak, saya bertanya sendirian, siapakah yang akan bertanggungjawab jika UMNO dibobrokkan oleh kesongsangan, kemungkaran serta penyelewengan sesetengah ahli dan pemimpinnya di hari muka?

Saya insaf bahawa saya hanya warga UMNO yang kerdil. Bagaimanapun, berlatarbelakangkan suasana hari ini, wajarlah sekali jika ada mana-mana pihak yang sudi merincikan gagasan dangkal ini.

Pada waktu yang sama, selaras dengan kehendak zaman, UMNO mestilah mempunyai satu badan penyelidikan dan pembangunan (research and development) di bidang siasah dan kenegaraan, lokal, regional dan internasional, yang efektif dan innovatif demi survivalnya mutakhir ini dan di hari-hari mendatang.

Tiada ulasan: